AGMJ 2026 platform memartabat jasa bakti insan hebat

KOTA KINABALU : Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 (AGMJ) diwujudkan sebagai sebuah platform untuk memartabatkan jasa bakti individu tertentu sekaligus menghargai insan-insan yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur, Dato Paduka Rehan Hj Rahim berkata program sebegini juga menjadi lambang kerjasama erat antara NGO, Kerajaan, agensi dan masyarakat dalam menyemai budaya menghargai serta mengiktiraf kecemerlangan yang telah dicapai.

“Sesungguhnya, pengiktirafan pada malam ini bukan sekadar sebuah penghargaan, tetapi juga simbolik kasih sayang, simbolik perpaduan, dan simbolik keharmonian antara pelbagai bangsa, agama dan lapisan masyarakat.

Saya berharap program seperti ini akan terus menjadi contoh dan ikutan yang baik dalam menghargai insan-insan yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya ketika berucap mengalu-alukan kehadiran Isteri Ketua Menteri Sabah, YABhg Datin Seri Panglima Datuk Hjh Juliah Salag, dif jemputan dan para penerima-penerima anugerah berkenaan semalam.

Majlis penuh gilang gemilang itu disempurnakan oleh Juliah, yang juga merupakan Yang Dipertua Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di sini.

“Walau bagaimanapun, saya percaya masih ramai lagi di luar sana yang wajar dihargai dan diberikan pengiktirafan.

Maka mereka yang diraikan pada malam ini bukan sahaja mewakili diri mereka sendiri, tetapi turut menjadi simbol penghargaan kepada insan-insan lain yang turut berbakti di luar sana. 

Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah yang membawa manfaat dan kebaikan kepada semua,” katanya.

Beliau turut berharap majlis AGMJ ini akan terus menjadi wadah yang mengangkat insan cemerlang, menyemai inspirasi dan membina legasi.

Menurutnya ,ini semua akan menjadi bukti bahawa jasa akan tetap dikenang, bakti akan tetap dihargai dan kecemerlangan diraikan. 

“Semoga segala usaha yang kita mulakan hari ini menjadi warisan bermakna untuk generasi di masa hadapan,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu semalam, antara penerima pengiktirafan ialah terdiri daripada golongan artis, media, usahawan, cendikiawan, ilmuan, kakitangan kerajaan, swasta dan individu yang nyata di kesan telah menabur bakti dan jasa samada secara langsung atau tidak selain pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Turut menerima ikon seni Sabahan, Datuk Deddy M. Borhan, Stacy dan Ayu Damit, Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Freddy Fernandez, ikon sukan Datuk Pandalela Rinong dan ramai lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles