LPBS Perlu Diperkasa Demi Keterjaminan Makanan Sabah, Bukan Sekadar Badan Pemantau

TAWAU : Cadangan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dengan kuasa yang lebih besar bagi memantau bekalan beras di negeri ini disifatkan sebagai langkah tepat ke arah memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan Sabah.

Aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata beliau menyambut baik kenyataan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bahawa LPBS perlu diberikan peranan dan bidang kuasa yang lebih luas bagi memastikan pemantauan bekalan beras dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, kenyataan itu membuktikan cadangan yang pernah dikemukakannya sebelum ini supaya LPBS diberikan autonomi dan bidang kuasa lebih luas bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan mendesak demi melindungi kepentingan rakyat Sabah.

Mohd. Zaki berkata, beliau turut menyokong kenyataan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, yang menggesa supaya LPBS diperkasakan dan diberikan kuasa yang lebih besar dalam mengurus serta memantau bekalan beras di Sabah.

Katanya, pandangan yang dibawa Ahli Parlimen Sipitang itu amat bertepatan dengan keperluan semasa memandangkan Sabah mempunyai kedudukan geografi yang unik serta masih bergantung kepada bekalan beras dari luar negeri dan import.

“Saya melihat saranan Datuk Matbali Musah selari dengan pendirian yang saya suarakan sebelum ini iaitu LPBS perlu diberikan autonomi yang lebih luas. Institusi ini tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai badan pemantau, sebaliknya perlu mempunyai kuasa kawal selia, pengurusan stok strategik, pemantauan rantaian bekalan dan koordinasi bersama agensi penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Sabah memerlukan sebuah institusi yang mampu membuat keputusan dengan lebih pantas mengikut keperluan negeri tanpa terlalu bergantung kepada proses di peringkat Persekutuan, khususnya ketika berlaku gangguan bekalan atau krisis makanan global.

Mohd. Zaki berkata, beliau sebelum ini turut mencadangkan supaya Sabah diberikan autonomi dalam pengurusan kuota import beras bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada keputusan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, berdasarkan anggaran populasi Sabah sekitar 3.76 juta penduduk dengan penggunaan purata kira-kira 80 kilogram beras bagi setiap individu setahun, negeri ini memerlukan sekitar 300,000 tan metrik beras setahun atau hampir 25,000 tan metrik sebulan.

“Justeru, Sabah sewajarnya mempunyai sekurang-kurangnya 150,000 tan metrik stok penimbal, bersamaan keperluan enam bulan sebagai benteng menghadapi sebarang gangguan bekalan akibat bencana, konflik geopolitik atau sekatan eksport negara pengeluar,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar LPBS diberi tanggungjawab lebih menyeluruh meliputi pengurusan stok penimbal negeri, pemantauan logistik pengedaran, analisis permintaan dan bekalan secara masa nyata, selain menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras penyorokan, penyeludupan dan manipulasi bekalan beras.

Dalam masa sama, Mohd. Zaki menyifatkan usaha Kerajaan Negeri menghidupkan semula peranan LPBS sebagai langkah strategik yang perlu disokong semua pihak kerana institusi itu bakal menjadi pemacu utama dalam meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.

“Isu bekalan beras bukan sekadar soal perdagangan, tetapi menyentuh aspek keselamatan makanan, kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat. Oleh itu, LPBS perlu diperkasakan dengan kuasa, sumber manusia, kepakaran teknikal serta peruntukan yang mencukupi agar benar-benar berfungsi sebagai benteng keselamatan makanan Sabah.

“Apabila Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, kepimpinan LPBS dan semua pihak berkepentingan bergerak sehaluan, saya yakin Sabah mampu membina sistem pengurusan bekalan beras yang lebih mampan, cekap dan berdaya tahan demi kepentingan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles