Oleh: JT
PENAMPANG: Pertandingan Sugandoi bukan sekadar pertandingan nyanyian, ia merupakan pentas untuk mengangkat seni dan budaya masyarakat Kadazandusun agar terus dihargai dan diwarisi generasi muda.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun berkata, penyertaan anak-anak muda dalam pertandingan ini membuktikan budaya Kadazandusun terus hidup dan dihargai.
“Saya amat berbangga melihat penyertaan anak-anak muda pada malam ini, dan berharap pertandingan seperti ini akan terus menjadi ruang untuk mencungkil bakat baharu serta melahirkan generasi yang bukan sahaja berbakat, malah mempunyai rasa bangga tergadap identiti dan budaya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pertandingan Sugandoi sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Pogunon Tahun 2026, di Dewan Terbuka Gereja St, Joseph, Pogunon, pada malam Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Gundohing Dennis Gompion. Turut hadir Pengerusi Pelaksana Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Pogunon Tahun 2026, Gundohing Stanislaus Dumalin, yang juga Pengerusi JKKK Kampung Pogunon; Ketua Kampung Pogunon, Gundohing Jefry Lojitin dan Pengerusi Pertandingan Sugandoi Gundohing Adrian Modoit.
Sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta, Mandela menyeru kepada para peserta agar memberikan persembahan yang terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama, tetapi keberanian untuk tampil membawa seni dan budya masyarakat kita adalah sesuatu yang amat membanggakan,” katanya.
Dalam pada itu, Mandela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DiLantik berkata, kaamatan merupakan sambutan yang cukup bermakna kepada masyarakat Sabah.
“Selain melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, Kaamatan turut menjadi wadah untuk memperkukuhkan perpaduan, mengeratkan silaturahim dan menyemai semangat kebesamaan dalam komuniti,” katanya.
Mandela mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang telah menjayakan program ini.
“Semoga Pesta Kaamatan Kampung Pogunon akan terus menjadi landasan bagi mengeratkan perpaduan masyarakat setempat dan memupuk semangat cintakan budaya dalam kalangan generai muda,” katanya.
