TUARAN: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) Cawangan Tuaran terus memperkukuh pembangunan profesional warga pendidik apabila berjaya menganjurkan Ceramah/Bengkel NotebookLM + Gemini Dalam Pengurusan AI Pendidikan serta Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Google Educator Group (GEG Sabah) Peringkat Zon Sulaman yang berlangsung di Dewan Mengkabong, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Encik Muhd Arziz Afizy Bin Rumsani, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Sabah merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran.
Program yang dianjurkan oleh KGKS Cawangan Tuaran dengan kerjasama PGBM Zon Sulaman, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan PPD Tuaran serta Google Educator Group (GEG Sabah) itu menghimpunkan Guru Besar, Penolong Kanan, Guru ICT, Guru Pemulihan, Guru Prasekolah, Guru Bimbingan dan Guru Pendidikan Islam dari sekolah-sekolah Zon Sulaman.
Dalam ucapan perasmiannya, Encik Muhd Arziz Afizy berkata penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) seperti NotebookLM dan Gemini mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah, memperkukuh kualiti pengajaran serta membantu guru menyediakan bahan pembelajaran yang lebih kreatif dan berimpak tinggi. Beliau turut berharap warga pendidik sentiasa bersedia mendepani perubahan landskap pendidikan digital demi melahirkan generasi yang berdaya saing.
Sementara itu, Pengerusi KGKS Cawangan Tuaran, Encik Jumar Bin Kamsari, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah latihan AI yang dilaksanakan mengikut zon di daerah Tuaran bagi memastikan lebih ramai guru mendapat pendedahan kepada penggunaan teknologi AI dalam pendidikan.
Katanya, kerjasama strategik bersama Google Educator Group (GEG Sabah) diharap dapat membuka lebih banyak peluang pembangunan profesional kepada guru-guru serta memperkukuh amalan pendigitalan pendidikan di daerah ini.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KGKS Cawangan Tuaran dan Google Educator Group (GEG Sabah) sebagai komitmen bersama dalam memperkasakan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan dalam kalangan warga pendidik.
Program turut dihadiri oleh Encik Jamdin Bin Haji Jeman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran (Sektor Pengurusan Sekolah); Ts. Mohd. Idremzizan Idris, Pengerusi GEG Sabah; Encik Osmera Bin Awang Tusin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan PPD Tuaran; serta Encik Suhaimi Bin Abdullah, Guru Besar SK Tinambak merangkap Ahli Majlis Tertinggi KGKS Cawangan Tuaran.
KGKS Cawangan Tuaran merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, jawatankuasa pelaksana dan para peserta atas komitmen yang diberikan, dengan harapan program seumpama ini akan terus menjadi platform pembangunan profesional guru-guru di daerah Tuaran sejajar dengan aspirasi pendigitalan pendidikan negara.
