MP Sandakan harap kerajaan kaji semula had subsidi diesel sesuai realiti di Sabah

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berharap kerajaan dapat mengkaji semula syarat kelayakan dan kuota subsidi diesel dengan mengambil kira realiti di Sabah serta memastikan rakyat dan industri yang bergantung kepada diesel tidak tercicir.

Jelasnya, langkah ini penting agar kos sara hidup di Sabah yang sememangnya lebih tinggi tidak terus meningkat akibat pertambahan kos operasi dan logistik.

Beliau juga berharap Ahli-ahli Parlimen diberi ruang yang lebih luas untuk terlibat dalam sesi libat urus sebelum sesuatu dasar besar dilaksanakan.

Matlamatnya adalah sama iaitu bagi memastikan setiap dasar benar-benar membantu mereka yang memerlukan, tanpa meminggirkan mana-mana negeri. 

Ujarnya, sebagai wakil rakyat, mereka juga turun padang setiap hari dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

Vivian berkata demikian *menerusi satu kenyataan selepas* perbahasan di Parlimen berkenaan isu krisis bekalan global dan penyasaran subsidi diesel. 

Jelasnya, walaupun krisis global memberi kesan kepada seluruh negara, Sabah dan Sarawak khasnya amat menanggung beban yang lebih besar kerana bergantung kepada kos logistik yang tinggi. 

Beliau menambah, Sabah bukan sahaja luas dari segi geografi, malah banyak kawasan luar bandar dan pedalaman amat bergantung kepada pengangkutan jalan raya. 

Oleh itu, dasar berkaitan diesel tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan realiti di Semenanjung. 

Pihaknya juga ingin tahu sama ada kuota itu benar-benar mencukupi khasnya bagi sektor perikanan dan yang  bergantung kepada penggunaan diesel bagi operasi mereka. 

Sabah merupakan sebuah negeri yang sangat luas, dengan jarak perjalanan antara daerah yang jauh. 

Ramai rakyat perlu menempuh ratusan kilometer untuk bekerja, mendapatkan rawatan, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan perniagaan. 

Akibatnya, kenaikan harga barang dan kos pengangkutan lebih dirasai oleh rakyat di negeri kita.

Di Sabah, kenderaan diesel pacuan empat roda juga bukan satu kemewahan tetapi satu keperluan untuk bergerak di kawasan pedalaman, mengangkut hasil pertanian, membawa bekalan dan menjalankan aktiviti harian.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat melihat perkara ini dan tampil dengan mekanisma yang terbaik khususnya membantu rakyat di negeri ini mendepani isu dan cabaran tersebut. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles