TAWAU: Keputusan kerajaan negeri menghalang kemasukan Pengarah Eksekutif Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Asraf Sharafi ke Sabah disifatkan sebagai langkah pencegahan yang wajar bagi memastikan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, tindakan itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya merupakan pendekatan awal bagi mengelakkan sebarang situasi yang berpotensi mengganggu keamanan negeri.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai tanggungjawab melindungi kepentingan rakyatnya, lebih-lebih lagi Sabah yang mempunyai keunikan dari segi latar belakang masyarakat, budaya serta keharmonian kaum yang perlu terus dipelihara.
“Sabah selama ini terkenal dengan budaya hormat-menghormati, toleransi dan perpaduan antara pelbagai kaum serta agama. Sebarang pendekatan atau budaya politik yang berpotensi mencetuskan ketegangan sewajarnya dinilai secara berhati-hati sebelum dibenarkan berkembang di negeri ini.
“Keputusan kerajaan negeri bukan bermaksud menafikan hak seseorang untuk bersuara, tetapi memastikan corak atau pendekatan yang dibawa tidak bercanggah dengan nilai serta norma masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan keputusan itu juga bukan bertujuan menghalang Asraf daripada bertemu isteri dan anak yang berada di Sabah, sebaliknya hanya satu langkah pencegahan sementara bagi mengelakkan sebarang polemik sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 Anti-Rasuah pada hujung minggu ini.
“Pertemuan bersama keluarga masih boleh dilakukan selepas program berkenaan selesai. Justeru, tindakan kerajaan negeri tidak wajar ditafsirkan sebagai menafikan hak kekeluargaan, sebaliknya ia adalah keputusan pentadbiran yang dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, Sabah mempunyai kedudukan istimewa dalam hal ehwal imigresen berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengawal kemasukan individu dari luar Sabah.
Katanya, kuasa imigresen itu bukan sekadar simbol autonomi, malah adalah hak perlembagaan yang diwujudkan bagi melindungi keselamatan, kestabilan politik dan keharmonian sosial negeri.
“Kuasa imigresen Sabah adalah hak mutlak yang diiktiraf melalui MA63. Kerajaan negeri mempunyai budi bicara untuk menolak kemasukan mana-mana individu yang disifatkan sebagai persona non grata atau kehadirannya dipercayai boleh menjejaskan ketenteraman awam serta kepentingan negeri.
“Kuasa ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada jaminan yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia bagi memastikan kepentingan Sabah terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati hak autonomi Sabah tanpa mempolitikkan keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Perbezaan pandangan boleh diraikan dalam ruang yang sihat, namun kerajaan negeri juga mempunyai tanggungjawab membuat penilaian berdasarkan aspek keselamatan, keharmonian dan kepentingan awam.
“Apa juga keputusan yang dibuat berasaskan kuasa imigresen negeri perlu dihormati kerana ia adalah hak yang termaktub dan menjadi sebahagian daripada semangat MA63,” katanya.
Beliau berharap semua pihak menghormati keunikan Sabah serta terus mengutamakan keamanan dan perpaduan yang menjadi asas kestabilan negeri sejak sekian lama.
