KOTA KINABALU: Sikap segelintir pemandu di Sabah yang gemar menggunakan lorong kanan untuk memandu secara perlahan tanpa memberi laluan kepada kenderaan lain perlu diberi perhatian serius oleh pihak penguat kuasa kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi etika pemanduan, malah boleh mengundang kemalangan.
Aktivis masyarakat, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, amalan yang semakin menjadi-jadi di lebuh raya dan jalan berkembar di negeri ini mencerminkan tahap kesedaran yang masih rendah terhadap peraturan jalan raya serta hak pengguna lain.
Menurut beliau, masih ramai pemandu menganggap lorong kanan sebagai lorong biasa sedangkan fungsi sebenar lorong itu adalah untuk memotong atau digunakan oleh kenderaan yang bergerak mengikut aliran trafik yang lebih pantas.
“Masalah ini sudah lama berlaku di Sabah dan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kita sering melihat pemandu memandu perlahan di lorong kanan walaupun lorong kiri kosong dan terdapat deretan kenderaan di belakang yang mahu meneruskan perjalanan.
“Lebih membimbangkan apabila ada pemandu yang seolah-olah enggan memberi laluan walaupun sudah diberi isyarat lampu atau terdapat ruang yang selamat untuk beralih ke lorong kiri. Sikap seperti ini tidak sepatutnya menjadi budaya pengguna jalan raya di Sabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Zaki berkata, tindakan menggunakan lorong kanan secara berterusan tanpa tujuan memotong adalah bertentangan dengan prinsip asas pemanduan yang ditetapkan di bawah Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang mewajibkan pemandu menggunakan bahagian kiri jalan kecuali apabila perlu memotong atau dalam keadaan tertentu yang dibenarkan.
Katanya, walaupun ramai menganggap perbuatan itu sebagai kesalahan kecil, hakikatnya ia boleh menyebabkan gangguan kepada aliran trafik dan meningkatkan risiko kemalangan.
“Apabila sebuah kenderaan bergerak perlahan di lorong kanan, kenderaan lain akan mula memotong dari sebelah kiri. Situasi ini mewujudkan keadaan yang lebih berbahaya kerana pengguna jalan raya terpaksa melakukan pertukaran lorong yang kerap dan kadangkala secara mengejut.
“Perbuatan ini akhirnya mencetuskan kesesakan, ketegangan dalam kalangan pemandu dan meningkatkan risiko pelanggaran antara kenderaan. Dalam banyak keadaan, punca sebenar bukanlah kelajuan tinggi, tetapi kegagalan mematuhi disiplin penggunaan lorong,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pemandu yang gagal memberi perhatian munasabah kepada keadaan lalu lintas sehingga mengganggu pengguna lain boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang munasabah.
Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda antara RM4,000 hingga RM10,000 serta hukuman penjara sehingga 12 bulan jika disabitkan kesalahan.
“Ramai pemandu menyangka mereka tidak melakukan kesalahan kerana memandu di bawah had laju yang dibenarkan. Hakikatnya, isu utama bukan semata-mata kelajuan tetapi sikap menghalang kelancaran trafik dan kegagalan menghormati pengguna lain.
“Memandu di lorong kanan pada kelajuan rendah sehingga menyebabkan aliran trafik terganggu adalah satu bentuk pemanduan yang tidak bertanggungjawab dan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau turut menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan melalui operasi pemantauan serta kempen pendidikan berterusan.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil bagi membentuk budaya pemanduan yang lebih berdisiplin dan bertamadun, selaras dengan amalan di negara-negara maju.
“Kita tidak boleh terus menyalahkan keadaan jalan raya atau kesesakan trafik jika sikap pengguna sendiri masih tidak berubah.
“Menggunakan lorong kanan untuk memandu perlahan bukan tanda berhemah, sebaliknya menunjukkan kegagalan memahami peraturan jalan raya. Sikap mementingkan diri sendiri seperti ini perlu dihentikan.
“Pemandu di Sabah perlu mempunyai rasa hormat terhadap undang-undang, menghormati hak pengguna lain dan memahami bahawa jalan raya adalah kemudahan awam yang perlu dikongsi secara bertanggungjawab.
“Jika tidak mahu memotong atau bergerak lebih perlahan daripada aliran trafik, beralihlah ke lorong kiri. Tindakan mudah itu mampu mengurangkan risiko kemalangan, melancarkan perjalanan dan mewujudkan suasana pemanduan yang lebih selamat untuk semua,” katanya.
