UPKO sertai GRS  memperkukuh suara dan penyatuan parti tempatan Sabah

Oleh Rayner Rino Ebi, Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran

KOTA KINABALU: Saya mengambil maklum pelbagai pandangan yang tular berhubung keputusan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam sebuah demokrasi yang matang, rakyat berhak bertanya, mengkritik dan menilai. Saya menghormati hak tersebut sepenuhnya.

Namun ada satu hakikat yang perlu kita akui bersama: rakyat Sabah mahukan parti tempatan. Parti yang lahir dari bumi Sabah, yang memahami jiwa Sabah, dan yang berjuang untuk Sabah.

Hakikatnya, UPKO sendiri adalah sebuah parti tempatan Sabah, manakala GRS merupakan gabungan yang menghimpunkan parti-parti tempatan Sabah. 

Jika aspirasi rakyat hari ini adalah untuk melihat parti-parti tempatan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju negeri, maka semangat itulah yang tercermin dalam kewujudan dan peranan GRS. 

Keadaan ini sama seperti yang diamalkan di Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu gabungan parti-parti tempatan yang bekerjasama untuk memperjuangkan kepentingan negeri.

Oleh itu, penyertaan UPKO dalam GRS adalah satu usaha memperkukuhkan kerjasama sesama parti tempatan demi memastikan suara Sabah lebih bersatu, lebih kuat dan lebih berpengaruh.

Sejarah telah mengajar kita bahawa perpecahan hanya melemahkan suara Sabah. Dan masa depan Sabah tidak akan dibina melalui perpecahan, tetapi melalui perpaduan parti-parti tempatan yang sehati sejiwa demi satu tujuan. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles