Wartawan perlu pertahan integriti dalam era algoritma dan `clickbait’

Gambar-HAWANA: Lichong (dua kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA, Mohd Shukri Ishak (tengah), Presiden ISWAMI Indonesia, Pak Asro Kamal Rokan, Editor in Chief Elshinta Network Jakarta, Indonesia, Haryo Ristamaji (tiga kanan) dan Rangga Pandu Asmara Jingga dari ANTARA Kuala Lumpur dalam pertemuan di Hotel Crowne Plaza, semalam.

GEORGE TOWN: Perkembangan teknologi digital dan media sosial telah mengubah landskap kewartawanan dengan begitu pantas, namun wartawan diingatkan agar tidak terlalu terpengaruh dengan budaya `clickbait’ dan algoritma sehingga mengorbankan ketepatan fakta dalam laporan berita.

Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui berkata, keutamaan dalam kewartawanan harus sentiasa berpaksikan kepada kebenaran, ketepatan dan kepentingan awam, bukannya semata-mata mengejar jumlah klik atau capaian di platform digital.

Menurut beliau, algoritma yang digunakan oleh platform media sosial sememangnya memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana sesuatu kandungan dapat mencapai khalayak, namun ia tidak seharusnya menjadi faktor utama dalam menentukan cara berita dihasilkan.

“Wartawan perlu memahami bagaimana algoritma berfungsi, tetapi jangan sesekali membiarkan algoritma menentukan nilai sesebuah berita. Tanggungjawab kita adalah menyampaikan fakta yang tepat dan seimbang, bukannya menghasilkan kandungan yang hanya bertujuan menarik perhatian,” katanya di sini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini semalam.

Beliau diminta mengulas cabaran yang dihadapi pengamal media dalam era digital yang semakin kompetitif dan pantas.

Lichong berkata penggunaan tajuk sensasi atau clickbait secara berlebihan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pembaca, malah berpotensi menjejaskan kredibiliti organisasi media jika kandungan yang disampaikan tidak selari dengan tajuk yang digunakan.

“Apabila pembaca berasa tertipu dengan tajuk yang mengelirukan, kepercayaan terhadap media akan semakin terhakis. Kepercayaan adalah aset paling berharga dalam dunia kewartawanan dan ia mengambil masa yang lama untuk dibina, tetapi boleh hilang dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kewartawanan yang berkualiti memerlukan proses semakan fakta yang teliti, pengesahan maklumat daripada sumber yang sahih serta penyampaian yang bertanggungjawab tanpa dipengaruhi sentimen atau tekanan untuk menjadi yang paling pantas.

Dalam masa sama, Datuk Lichong berkata wartawan perlu mempunyai jati diri yang kukuh bagi memastikan mereka tidak mudah terikut-ikut dengan trend semasa yang boleh menjejaskan profesionalisme.

“Jati diri seorang wartawan terletak pada keupayaannya mempertahankan prinsip kewartawanan walaupun berdepan tekanan persaingan. Wartawan yang berintegriti akan sentiasa meletakkan kebenaran mengatasi populariti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat hari ini memerlukan maklumat yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan yang tepat dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadikan peranan media lebih penting berbanding sebelum ini.

Menurutnya, laporan yang berkaliber bukan sahaja mampu memberi maklumat kepada masyarakat, malah berperanan membentuk pemikiran kritis dan menggalakkan perbincangan yang sihat berasaskan fakta.

“Dalam era lambakan maklumat, masyarakat memerlukan wartawan yang mampu menapis, menyemak dan mengesahkan maklumat sebelum disampaikan kepada umum. Itulah nilai sebenar profesion kewartawanan,” katanya.

Merujuk tema HAWANA 2026 `Media berintegriti, teras kredibiliti’, beliau berkata, media yang berpegang teguh kepada etika dan integriti akan terus relevan serta mendapat kepercayaan masyarakat walaupun berdepan pelbagai cabaran teknologi dan perubahan corak penggunaan media.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengamal media agar terus memperkukuhkan profesionalisme, meningkatkan kemahiran serta mengekalkan standard kewartawanan yang tinggi demi memastikan laporan yang dihasilkan kekal berwibawa, berkaliber dan dipercayai oleh masyarakat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles