Ayuh bersama banteras jenayah komersial : Shahelmey

KOTA KINABALU : Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk membanteras dan memerangi jenayah komersial di negara ini.

Advertisements

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan, Ir Shahelmey Yahya berkata, jenayah tersebut merupakan ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan dalam talian boleh mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit seperti kes love scam, macau scam, penipuan belian online dan sebagainya.

“Menurut laporan Cybersecurity Malaysia, bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, jumlah insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia adalah sebanyak 4,615 kes.

“Daripada jumlah itu, tiga insiden tertinggi iaitu Penipuan (3,229), Pencerobohan (765) dan Kod Berbahaya (256) dan saya difahamkan statistik kes jenayah siber yang dikendalikan oleh PDRM juga meningkat,” jelasnya.

Menurut beliau, sebagai pengguna ICT, masyarakat harus mengamalkan tatacara serta kaedah penggunaan teknologi dan internet termasuk laman media sosial secara positif, beretika dan bertanggungjawab.

“Peningkatan penggunaan laman sosial secara tidak langsung menyumbang kepelbagaian trend jenayah komersial terutama jenayah siber yang melibatkan aspek keselamatan pengguna seperti butir–butir peribadi yang mudah diperolehi dengan hanya secara whatsapp, telegram mahupun facebook.

“Kita perlu mengambil langkah-langkah wajar dan proaktif bagi mencegah daripada menjadi mangsa ancaman dan serangan siber.

“Antaranya dengan pemasangan antivirus di telefon, notebook dan komputer yang digunakan dan ini akan mengurangkan risiko ancaman keselamatan siber berbentuk serangan spyware,” katanya.

Beliau merasmikan Webinar ICT Memperkasa Wanita anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) menerusi aplikasi online zoom.

Turut serta dalam webinar itu Pengarah Jhewa, Rusnah Kuyung serta Timbalannya, Haslina Ismail.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles