PPDJS : Majikan disaran peruntuk bajet program anti-scam

TAWAU: Semua majikan di negara ini disaran memperuntukkan bajet khusus bagi melaksanakan program kesedaran dan pendidikan berkaitan jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ dalam kalangan pekerja masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata usaha membanteras jenayah scam tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa, institusi kewangan atau pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu dipikul secara bersama oleh semua pihak termasuk sektor swasta.

Menurutnya, peningkatan kerugian akibat jenayah scam saban tahun membuktikan ancaman itu semakin serius dan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan majikan, komuniti serta institusi pendidikan.

“Majikan perlu melihat program kesedaran anti-scam sebagai satu pelaburan bagi melindungi pekerja dan organisasi daripada risiko penipuan kewangan. Kesedaran yang tinggi mampu mengurangkan kebarangkalian pekerja menjadi mangsa seterusnya memberi kesan kepada produktiviti dan kesejahteraan mereka.

“Jenayah scam bukan lagi isu individu, sebaliknya ancaman sosial dan ekonomi yang memerlukan tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel forum ‘Komuniti Bijak, Bebas Scammer’ anjuran Mutiara GRS di Tuaran, baru-baru ini.

Mohd. Zaki berkata, berdasarkan statistik nasional, kerugian akibat penipuan dalam talian dan kewangan menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila mencatat RM1.57 bilion pada 2024 sebelum melonjak kepada RM2.77 bilion pada 2025, peningkatan hampir 76 peratus dalam tempoh setahun.

Katanya, bagi tahun 2026 pula, ribuan laporan berkaitan scam terus direkodkan dengan trend kes masih berada pada tahap membimbangkan, sekali gus menunjukkan sindiket berkenaan terus aktif memperdaya masyarakat.

Mengulas situasi di Sabah, beliau berkata negeri itu turut tidak terkecuali daripada ancaman berkenaan apabila pelbagai kes penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, pembelian dalam talian, penyamaran pegawai agensi kerajaan dan penipuan telekomunikasi dilaporkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun statistik Sabah lebih kecil berbanding angka nasional, trendnya tetap membimbangkan kerana melibatkan kerugian jutaan ringgit setiap tahun dan mangsa dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, tanggapan bahawa hanya warga emas atau individu kurang berpendidikan menjadi mangsa scam adalah tidak tepat kerana realitinya mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang pendidikan, pekerjaan dan lokaliti.

“Mangsa terdiri daripada penjawat awam, kakitangan swasta, ahli perniagaan, pesara, suri rumah, pelajar universiti malah golongan profesional seperti doktor, jurutera dan peguam.

“Scammer tidak memilih mangsa berdasarkan tahap pendidikan, sebaliknya mengeksploitasi emosi, ketakutan, ketamakan atau kepercayaan seseorang,” katanya.

Beliau berkata, antara modus operandi yang sering digunakan sindiket scammer ialah menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, kakitangan mahkamah, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau wakil agensi kerajaan bagi menakut-nakutkan mangsa kononnya terbabit dengan kesalahan jenayah.

Selain itu, katanya, sindiket turut menggunakan taktik menawarkan pelaburan berpulangan tinggi, pinjaman mudah tanpa syarat, tawaran pekerjaan sambilan, penjualan barangan dalam talian pada harga terlalu murah serta penipuan percintaan atau ‘love scam’.

“Golongan muda lazimnya menjadi sasaran penipuan e-dagang, pekerjaan sambilan dan tawaran pelaburan di media sosial, manakala warga emas lebih terdedah kepada penipuan panggilan telefon serta penyamaran pegawai agensi penguat kuasa.

“Pada masa sama, golongan profesional dan individu berpendapatan tinggi sering menjadi sasaran skim pelaburan tidak wujud kerana mempunyai kemampuan kewangan yang lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak organisasi dan syarikat swasta tampil bekerjasama dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program literasi digital dan kesedaran anti-scam secara berkala.

“Jika setiap tempat kerja melaksanakan sekurang-kurangnya satu program kesedaran anti-scam setiap tahun, saya percaya kita mampu meningkatkan tahap kewaspadaan masyarakat dan seterusnya mengurangkan jumlah mangsa serta kerugian akibat jenayah ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles