Kerajaan Negeri bantu pengusaha udang Beaufort tingkat pengeluaran

BEAUFORT:  Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan terus memperkukuh industri akuakultur di Sabah dengan menyediakan bantuan benih udang, kemudahan penyimpanan serta sokongan teknikal bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pengusaha.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan ternakan udang yang mempunyai potensi pulangan lumayan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan projek ternakan udang di Kampung Bintuka, di sini, pada Jumaat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Ahli Parlimen Sipitang.

Menurutnya, kawasan berkenaan kini diusahakan oleh kira-kira enam pengusaha dengan keluasan keseluruhan sekitar 50 ekar yang menghasilkan udang segar untuk pasaran di Kota Kinabalu dan Brunei.

“Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian dikehendaki pasaran, termasuk restoran makanan laut di Kota Kinabalu.

“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri keperluan mereka dan sebagai permulaan kita membantu menyediakan sebanyak 500,000 benih udang bagi kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan ini,” katanya ketika ditemui media. 

Jamawi berkata, Kementerian turut bersetuju membantu menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh digunakan secara bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan.

Katanya, sebuah tapak yang sesuai sudah dikenal pasti bagi pembinaan kolam simpanan dan sistem penyimpanan (cold room) yang lebih baik untuk memastikan hasil tuaian dapat dikendalikan dengan lebih teratur.

“Ketika musim menuai, ada kalanya sebahagian hasil tidak dapat diambil segera oleh pembeli. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha boleh menyimpan hasil mereka dengan lebih baik sebelum dipasarkan.

“Ia akan membantu menjamin kualiti udang sentiasa segar dan sistem penyimpanan yang dicadangkan mampu mengekalkan kualiti produk sehingga sebulan,” katanya.

Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu menjana pendapatan yang tinggi sekiranya diurus secara sistematik dan berdaya maju.

“Satu kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kolam.

“Sebab itu saya selalu tekankan bahawa pertanian, perikanan dan penternakan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha, khususnya penduduk kampung, jika diuruskan dengan baik dan terancang,” katanya.

Jamawi turut melahirkan rasa syukur kerana pengusaha di Kampung Binsuluk masih bersemangat meneruskan aktiviti ternakan udang walaupun industri itu berdepan pelbagai cabaran di sesetengah kawasan lain.

“Saya mendapati kebanyakan pengusaha di sini masih mempunyai semangat yang kuat untuk terus mengusahakan ternakan udang. Di tempat lain ada yang berdepan masalah penyakit, bekalan air dan faktor-faktor lain sehingga menjejaskan operasi mereka.

“Namun di sini keadaan agak baik dan terdapat pegawai Jabatan Perikanan yang sentiasa membantu serta memantau keperluan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah (DOF) juga diarahkan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dibantu kerajaan.

Antara keperluan yang dibangkitkan ialah penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan kualiti ternakan.

“Peruntukan untuk keperluan itu memang ada di Jabatan Perikanan. Saya minta supaya pelaksanaannya dibuat secara lebih teratur dan jika sempat kita laksanakan tahun ini, jika tidak ia akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan seawal mungkin,” katanya.

Beliau berkata, spesies yang diternak di kawasan berkenaan ialah udang putih atau Penaeus vannamei, iaitu antara spesies paling popular dalam industri akuakultur dan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa.

Terdahulu, Jamawi telah mengadakan lawatan ke Kampung Binsuluk, bagi melihat perusahaan belacan dan ikan bilis. 

Turut hadir ialah Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; Ketua Penolong Pengarah  Bahagian Sumber, Konservasi & Penyelidikan Jabatan Perikanan Sabah (DOF) Irman Isnain; Ketua Bahagian -Pembangunan Akuakultur Marin, Moris Chong dan  Penguasa Perikanan (Pegawai Perikanan) Daerah Beaufort, Abdul Adnan Amna. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles