KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus memperkukuhkan struktur organisasi parti di peringkat negeri bagi memastikan kesiapsiagaan jentera serta mempertingkatkan keberkesanan gerak kerja politik dan organisasi menjelang cabaran-cabaran mendatang.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Farid Sainuri berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah telah bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam struktur kepimpinan negeri.
“Antara pelantikan yang dipersetujui adalah pelantikan tiga Ahli Biro Politik (Biropol) MPN Sabah yang baharu iaitu Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi, Datuk Yamani Hafez Musa.
“Pelantikan ini diyakini akan memperkukuhkan lagi fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan kepimpinan dan pengukuhan organisasi parti di cabang Tuaran dan Semporna, Patrict Sulaiman diamanahkan sebagai Ketua Cabang Tuaran yang baharu manakala Cabang Semporna dipimpin oleh Arastam Pandorog.
Katanya, MPN Sabah juga bersetuju melantik Ketua Cabang Tawau, Fung Thien Yin, sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau.
“Pelantikan ini bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon serta memastikan suara dan keperluan akar umbi di kawasan Pantai Timur terus diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Farid berkata, PKR Sabah turut menyatakan komitmen untuk membantu parti menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang di Johor dan Negeri Sembilan
“Sebagai tanda solidariti serta semangat perjuangan bersama, Sabah akan menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu gerak kerja kempen dan jentera pilihan raya di kedua-dua negeri tersebut,” katanya.
PKR Sabah percaya bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan.
“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat,” tegasnya.
