Kenyataan Media DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak)
KOTA KINABALU: Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas pengumuman kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Pengumuman ini merupakan satu lagi bukti jelas komitmen, keberanian dan kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan penuh tanggungjawab.
Untuk rekod, sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad walaupun tuntutan 40% hasil termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kita menyaksikan peningkatan yang amat ketara dari tahun ke tahun:
– Tahun 2022 – RM125.6 juta
– Tahun 2023 – RM300 juta
– Tahun 2024 – RM300 juta
– Tahun 2025 – RM600 juta
– Tahun 2026 – RM600 juta (berserta pengumuman kenaikan pembayaran interim RM1.5bil)
Peningkatan secara konsisten ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
Kita harus berlaku adil dalam menilai perkembangan ini. Isu tuntutan 40% hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kuat serta hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah.
Pada masa sama, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kita mahukan pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh demi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan dan hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.
Saya yakin, di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.
Terima kasih juga kepada semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab.
Insya-Allah, perjuangan ini akan terus kita jayakan bersama.
