TAMBUNAN : Sambutan Hari Raya Aidiladha adalah hari yang terbaik untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri sendiri selain mampu mengeratkan lagi ikatan ukhwah sesama insan walau datang dari pelbagai suku dan fahaman agama.
Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Dato’ Victor P. Paut berkata, Aidiladha adalah masa yang sangat istimewa bagi seluruh umat Islam di serata dunia dan tidak terkecuali di negara kita khususnya di Sabah, di mana ianya mengingatkan kita semua tentang erti pengorbanan dan kesabaran.
“Setiap ibadah yang kita lakukan, baik itu solat, berkorban, mahupun memberi kepada yang memerlukan, semuanya adalah bentuk pengorbanan di era modenisasi yang harus kita lalui dengan hati yang ikhlas dan penuh rasa syukur,” jelasnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd.
Beliau turut menyeru agar semua lapisan masyarakat bersama-sama menjadikan Aidiladha itu sebagai satu landasan dengan menyebarkan rasa kasih sayang, bermaaf-maafan, dan mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga, sahabat, dan saudara mara.
“Semoga setiap doa yang dipanjatkan di hari yang penuh berkah ini, membawa kebaikan dan keberkatan dalam hidup kita semua.
Meskipun perayaan ini adalah khusus kepada penganut agama Islam namun merayakannya secara bersama sudah menjadi amalan kita semua sejak zaman berzaman,” katanya lagi.
Victor menegaskan bahawa itulah prinsip kebersamaan, yakni perpaduan yang wajar dipertahankan sebagai satu lambang keharmonian dalam masyarakat majmuk yang saling menghormati antara satu dengan yang lain.
“Semoga kebahagiaan, kemakmuran dan kedamaian akan sentiasa menghiasi hari-hari kita lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.
