Kembara Borneo/KL ke UK 2026 – Mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 – “Surreal Experience”

KOTA KINABALU: Sekumpulan pengembara rakyat Malaysia akan menjayakan ekspedisi overland antarabangsa dari Borneo/Kuala Lumpur menuju ke United Kingdom sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang membawa tema “Surreal Experience”.

Ekspedisi yang dijadual berlangsung dari 31 Mei 2026 hingga 30 Oktober 2026 itu akan melibatkan enam peserta dengan menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Kembara tersebut dijangka merentasi beberapa negara termasuk Thailand, Laos, China, Mongolia, Russia, Norway, Sweden, Denmark, Germany, Netherlands sebelum berakhir di United Kingdom.

Menariknya, dua daripada enam peserta ekspedisi itu – En. Josely Taising dan En. Kushan Keridau merupakan wakil dari negeri Sabah yang turut membawa semangat perpaduan serta identiti budaya Borneo dalam pengembaraan merentas benua ini.

Lebih istimewa, rombongan pengembara juga akan menyambut Pesta Kaamatan 2026 dalam perjalanan kembara tersebut sebagai simbol kebanggaan budaya dan warisan masyarakat Sabah di pentas antarabangsa. Sambutan ini diharap dapat memperkenalkan keunikan budaya Kaamatan kepada masyarakat luar negara sepanjang ekspedisi berlangsung.

Selain membawa semangat pengembaraan dan persahabatan antarabangsa, misi ini turut bertujuan mempromosikan keindahan dan budaya Malaysia di peringkat global, memperkenalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, mengetengahkan konsep “Surreal Experience” kepada komuniti antarabangsa, serta mengangkat imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan, pengembaraan dan budaya yang unik.

Sepanjang perjalanan, pasukan ekspedisi akan berkongsi pengalaman, dokumentasi serta aktiviti promosi digital menerusi pelbagai platform media sosial bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Kembara itu juga diharap dapat menjadi simbol semangat rakyat Malaysia dalam menghubungkan budaya, persahabatan dan pelancongan global melalui pengembaraan darat merentas benua.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles