Pam air pulihkan 400 ekar sawah Piasau

KOTA BELUD: Usaha segera Kerajaan memasang tiga pam air di Skim Pengairan Kampung Piasau dijangka membolehkan kira-kira 400 ekar sawah padi kembali diusahakan menjelang musim utama pada Julai ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu diambil bagi membantu pesawah yang terjejas sejak tiga hingga empat musim akibat kerja-kerja projek pengairan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Skim Pengairan Kampung Piasau bagi memantau kerja-kerja pembinaan pengambilan air dari Sungai Kadamaian ke Sungai Wariu di bawah IADA Kota Belud hari ini.

“Saya berada di Kampung Piasau hari ini. Saya pernah melawat kawasan ini dua bulan lalu untuk memantau dan mendapatkan pandangan penduduk kampung.

“Sudah tiga hingga empat musim mereka tidak dapat menanam padi kerana projek yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, ketika lawatan terdahulu beliau telah berjanji untuk kembali pada Julai dengan penyelesaian awal bagi memastikan sawah dapat diairi sementara menunggu sistem pengairan siap sepenuhnya.

“Pada masa itu, kita cadangkan penggunaan pam sebagai langkah permulaan sebelum sistem pengairan siap dilaksanakan.

“Alhamdulillah, hari ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JPS dan semua agensi termasuk IADA serta agensi berkaitan yang bertungkus lumus memasang tiga pam supaya kawasan ini dapat diairi,” katanya.

Jamawi berkata, pemasangan pam itu sekurang-kurangnya membolehkan pesawah kembali menanam padi pada musim utama yang dijangka bermula Julai ini.

“Ini komitmen Kerajaan dan kementerian akan terus memastikan pesawah mendapat bantuan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa kerja tambahan juga telah diluluskan bagi menambah baik sistem pengairan di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara JPS dan pentadbiran daerah bagi memastikan tiada aktiviti kuari atau pengorekan pasir berhampiran kawasan pengairan.

Katanya, pengalaman di beberapa daerah seperti Keningau, Tenom dan Tambunan menunjukkan aktiviti menggorek pasir boleh menjejaskan keberkesanan sistem pengairan, khususnya pengairan.

“Kita tidak mahu keadaan di mana paras air menjadi terlalu dalam sehingga sistem sawah padi tidak lagi berfungsi akibat aktiviti kuari atau pengorekan batu pasir di kawasan sawah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memastikan aset pengairan bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang.

Mengulas perkembangan projek, Jamawi berkata, kerja pembinaan dijangka siap pada Ogos ini berdasarkan maklum balas kontraktor.

“Struktur pengambilan air utama dijangka siap pada Ogos, namun masih terdapat beberapa komponen lain termasuk pengambilan air tambahan sejauh kira-kira lima kilometer yang perlu disiapkan bagi memastikan bekalan air mencukupi ke kawasan hujung sawah,” katanya.

Beliau menjelaskan, keperluan kerja tambahan timbul selepas pelaksanaan projek apabila beberapa aspek reka bentuk perlu ditambah baik di lapangan.

“Apabila pelaksanaan dibuat, kita dapati ada keperluan kerja tambahan yang memerlukan kelulusan lanjut daripada Kementerian Ekonomi dan kementerian berkaitan.

“Itulah antara sebab projek ini mengambil masa, namun kita telah faham isu ini dan kontraktor juga bersetuju untuk meneruskan kerja,” katanya.

Jamawi berkata, Kerajaan tidak mahu pesawah terus menunggu sehingga projek siap sepenuhnya sebelum dapat kembali bercucuk tanam.

“Sebab itu pada lawatan April lalu saya minta tindakan segera diambil. Kita tidak boleh tunggu sampai tahun depan.

“Langkah penggunaan pam ini adalah penyelesaian segera supaya pengairan di kawasan ini dapat berfungsi dan pesawah boleh kembali menanam padi,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Ahli Parlimen Kota Belud yang juga ADUN Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis; Pengurus Besar Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Ir Haji Siraja Haji Bashora; Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Ts. Dr. Ramle Hj Kasin bersama Timbalan Pengerusi, Datuk Musbah Jamli. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles