Pengarah UPPM hadiri sesi libat urus Sabah Electricity

SANDAKAN: Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang menghadiri Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM melibatkan 13 DUN sekitar Parlimen Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan yang berlangsung di Ballroom, Livingston Hotel, Sandakan baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar bersama pegawai-pegawai kanan Sabah Electricity yang telah menyampaikan penerangan berkaitan usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan ketelusan dan kefahaman rakyat terhadap isu-isu berkaitan bekalan elektrik.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pemahaman tarif elektrik, diagnosis bil pengguna serta kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM dalam memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Sesi tersebut turut memberi ruang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk mengemukakan persoalan dan isu semasa berkaitan perkhidmatan elektrik di kawasan masing-masing yang dijawab secara langsung oleh pihak Sabah Electricity.

Datuk Awang Kadin berkata, sesi libat urus seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat supaya setiap isu rakyat dapat diselaras dan ditangani secara lebih berkesan.

Menurut beliau, penyampaian maklumat yang jelas dan tepat akan membantu meningkatkan kefahaman rakyat selain mengelakkan kekeliruan berkaitan perkhidmatan utiliti yang melibatkan kepentingan harian masyarakat.

Beliau turut berharap kerjasama erat antara UPPM dan Sabah Electricity dapat diteruskan demi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa dipertingkat sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles