Hormati autonomi negeri demi kestabilan Kerajaan Perpaduan – BN Sabah

KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain menyeru semua pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan agar menghormati autonomi politik negeri dan menghentikan polemik terbuka berhubung pendirian BN Johor yang mahu bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Beliau berkata, menghormati realiti politik serta suara akar umbi di setiap negeri merupakan formula penting untuk memastikan kerajaan kekal stabil dan kukuh.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan mencerminkan kematangan dan ketegasan BN dalam menyeimbangkan tanggungjawab terhadap negara serta amanah akar umbi parti.

“Barisan Nasional kekal konsisten mendukung keutuhan Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara.

“Dalam suasana dunia yang sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi global, keutamaan kita mestilah tertumpu kepada kelangsungan negara serta kesejahteraan rakyat, bukannya polemik politik yang berpanjangan,” katanya.

Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, reaksi terburu-buru serta kenyataan terbuka beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan terhadap pendirian BN Johor amat dikesali kerana berpotensi menjejaskan persefahaman yang telah dibina bersama.

Menurutnya, BN sentiasa berpaksikan suara akar umbi dan setiap keputusan di peringkat negeri dibuat berdasarkan realiti politik tempatan, sentimen rakyat serta kepentingan jangka panjang parti dan negeri.

“Kita juga harus menerima hakikat bahawa landskap politik negeri tidak semestinya mencerminkan sepenuhnya dinamika politik di peringkat Persekutuan.

“Setiap negeri mempunyai keunikan sejarah, demografi dan pendekatan politik tersendiri yang wajar dihormati. Pendekatan yang terlalu simplistik dan seragam tidak boleh dipaksakan dalam sebuah negara yang rencam seperti Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya mengurus perbezaan pandangan secara matang, berhemah dan saling menghormati demi kestabilan politik negara.

Sumber – Suara TV

Related Articles

253FansLike

Latest Articles