KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 dilihat sebagai langkah awal untuk menghidupkan semula aktiviti memancing serta merancakkan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Bangka-Bangka.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya menyokong penuh usaha berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti nelayan tempatan.
“Pagi ini kita melancarkan pertandingan memancing bersama UMS dan juga komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka. Di peringkat kementerian, kita menyokong usaha ini untuk menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan ini.
“Ini baru permulaan. Kita merancang pada masa akan datang untuk menggunakan bot-bot nelayan di kampung ini supaya peserta dapat turun ke lokasi memancing yang lebih sesuai, dan pada masa sama nelayan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya ketika berucap melancarkan Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 di sini hari ini.
Jamawi berkata, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan UMS serta Persatuan Nelayan Kampung Bangka-Bangka bagi memastikan aktiviti memancing dan perikanan di kawasan berkenaan dapat disuburkan semula secara berterusan.
Menurutnya, penganjuran pertandingan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan, malah turut membantu kebajikan mahasiswa.
“Melalui pertandingan ini sahaja, kita menyumbangkan kira-kira RM10,000 kepada program dapur siswa, khususnya bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila seramai kira-kira 300 peserta mengambil bahagian, melebihi sasaran awal seramai 200 orang.
“Peserta datang dari pelbagai kawasan termasuk Brunei, Labuan dan pedalaman Sabah, malah ada peserta dalam kalangan warga emas berumur lebih 60 tahun yang turut serta kerana minat terhadap aktiviti memancing,” katanya.
Jamawi turut menjelaskan bahawa kawasan perairan berkenaan sebelum ini terkenal sebagai lokasi memancing yang berpotensi tinggi, namun aktivitinya terhenti sejak pandemik Covid-19.
“Kawasan ini memang terkenal dengan ikan bersaiz besar kerana sebelum ini Jabatan Perikanan telah melepaskan tukun-tukun, menjadikannya kawasan pemuliharaan ikan yang sesuai untuk aktiviti memancing.
“Ada peserta memaklumkan mereka pernah memperoleh ikan merah dan ikan putih seberat antara empat hingga lima kilogram di kawasan ini, yang kebiasaannya hanya diperoleh melalui aktiviti memancing laut dalam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan berkenaan dapat diteruskan, sekali gus memperkukuh sektor perikanan dan pelancongan rekreasi di negeri ini.
Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris; Pensyarah Kanan Institut Marin Borneo (IMB) UMS Dr. Chong Wei Sheng; Penyelaras Program yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah News Today (SNT), Zakaria Damit.
