Pusat pemprosesan avokado bakal dibuka di Tenom

TENOM: Sebuah pusat pemprosesan hasil pertanian khususnya avokado bakal diwujudkan di daerah ini bagi membantu meningkatkan nilai pasaran hasil tanaman petani tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Tenom dipilih kerana kawasan pedalaman khususnya daerah itu merupakan antara pengeluar avokado terbesar di Sabah.

Katanya, pembinaan pusat pemprosesan tersebut juga bertujuan menangani rungutan pengusaha avokado kampung yang berdepan masalah harga rendah berbanding varieti premium QAV1.

“Kita memahami tanaman avokado terbesar di negeri Sabah adalah di kawasan pedalaman terutama Tenom. Sebab itu kita menjadikan kilang ini di sini kerana ada rungutan daripada pengusaha tanaman avokado kampung apabila memasarkan hasil mereka dengan harga agak murah berbanding varieti QAV1,” katanya selepas melawat tapak kilang memproses hasil pertanian di sini, hari ini.

Menurut beliau, kementerian turut menggalakkan petani melakukan cantuman dewasa kepada varieti QAV1 bagi meningkatkan kualiti dan nilai komersial tanaman mereka.

Dalam masa sama, katanya, pusat pemprosesan itu akan membantu memanfaatkan buah avokado yang tidak sesuai dijual di pasaran segar.

“Ada hasil tanaman yang mungkin tidak boleh dijual ataupun mempunyai kualiti buah yang tidak sesuai untuk pasaran. Jadi kawasan ini akan diaktifkan sebagai tempat memproses hasil tanaman terutama avokado,” katanya.

Jamawi berkata, petani di Tenom disaran terus memperluaskan tanaman avokado memandangkan kapasiti pengeluaran pusat pemprosesan itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita kena ada jumlah hasil yang sesuai untuk memenuhi keperluan kilang ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan persatuan penanam durian dan buah-buahan tropika bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian tempatan.

Sementara itu, Jamawi berkata, kementeriannya turut memperkasa sektor perikanan darat melalui pembinaan jeti pendaratan ikan pertama di Tenom.

Katanya, pembinaan jeti itu mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan yang menjadi sumber pendapatan nelayan darat di kawasan berkenaan.

“Malah buat pertama kalinya kita akan membina jeti guna tanah di kawasan Tenom kerana kita mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan.

“Jika kita memanggilnya perikanan darat, mereka juga layak mendapat peluang dan kemudahan lain sama seperti nelayan yang menangkap ikan di laut,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini nelayan darat menjual hasil tangkapan di tepi jalan menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus menimbulkan isu keselamatan serta kualiti ikan.

Menurutnya, fasiliti lebih baik akan disediakan termasuk kemudahan untuk pengunjung mendapatkan bekalan ikan air tawar selain menjadikan kawasan jeti sebagai lokasi aktiviti memancing.

Katanya, Kerajaan juga mahu memastikan populasi ikan air tawar di Tenom terus terpelihara memandangkan kawasan itu masih bebas daripada serangan penyakit virus yang menjejaskan ikan pelian.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jifrin Mohammad dan Pengarah Ko- Nelayan Datuk Hj. Yusof Hj. Ag Besar; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Hj Kasin,  Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Denesly Justin serta pegawai Kementerian. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles