TAWAU: Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan terbaharu membabitkan sindiket penipuan dalam talian di daerah ini yang dilihat semakin mencemarkan imej Tawau sebagai bandar perdagangan dan pelancongan di pantai timur Sabah.
Penasihat PPDJS, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, kejadian itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat tempatan memandangkan insiden tangkapan pertama berkaitan sindiket scammer di Tawau masih lagi baharu dan belum reda daripada perhatian umum.
Menurutnya, tangkapan demi tangkapan dalam tempoh singkat memberi gambaran seolah-olah Tawau sedang dijadikan lokasi strategik oleh sindiket penipuan antarabangsa untuk menjalankan kegiatan jenayah siber mereka.
“Sudah tentu masyarakat asal Tawau berasa bimbang dan malu apabila nama daerah ini terus dikaitkan dengan kegiatan scammer. Kita tidak mahu persepsi luar melihat Tawau sebagai tempat selamat atau syurga kepada sindiket penipuan.
“Kes terbaharu ini menunjukkan ancaman jenayah siber semakin serius dan memerlukan tindakan menyeluruh daripada semua pihak berkaitan,” katanya ketika diminta mengulas penahanan terbaharu sindiket penipuan pelaburan dalam talian oleh polis di daerah berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan dan pujian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) serta pasukan keselamatan yang berjaya melaksanakan operasi sehingga tertangkapnya individu dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.
Katanya, tindakan pantas dan agresif pihak polis membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras kegiatan jenayah komersil yang semakin membimbangkan.
“PPDJS merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kejayaan operasi ini. Kejayaan membongkar sindiket terbabit sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pihak berkuasa sentiasa memantau dan bertindak tegas terhadap kegiatan jenayah scammer.
“Bagaimanapun, apa yang lebih penting ketika ini ialah mengenal pasti dalang sebenar, perancang utama dan mana-mana pihak yang menjadi pelindung kepada sindiket berkenaan,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, sekiranya rangkaian utama dan individu yang memberi perlindungan tidak dibanteras hingga ke akar umbi, tidak mustahil Tawau akan terus menjadi sasaran sindiket penipuan antarabangsa pada masa akan datang.
Beliau turut menggesa semua agensi penguat kuasa termasuk pihak berkaitan imigresen, kerajaan tempatan dan komuniti setempat memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan kegiatan jenayah sedemikian dapat dibendung lebih awal.
“Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan segera menyalurkan maklumat mencurigakan kepada pihak berkuasa. Jangan biarkan Tawau terus dilabel negatif akibat perbuatan segelintir pihak yang menjadikan daerah ini sebagai pusat operasi scammer,” katanya.
