KOTA BELUD: Presiden PERPADUAN, Gundohing Jack Giau, menyambut baik cadangan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti STAR, agar jawatan “Ketua Menteri” Sabah ditukar kepada “Premier”, selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, cadangan tersebut bukan sekadar perubahan istilah, tetapi merupakan langkah penting ke arah mengiktiraf kedudukan sebenar Sabah sebagai rakan pengasas dalam pembentukan Malaysia.
Selain itu, katanya, PERPADUAN turut mencadangkan agar gelaran Tuan Yang Terutama (TYT) diubah kepada “Yang di-Pertua Negara Sabah”, selaras dengan semangat perlembagaan serta prinsip penentuan nasib sendiri sebagaimana yang digariskan dalam Resolusi 1541 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta diperincikan dalam Inter-Governmental Committee Report 1962 (IGC Report).
Jack berkata parti itu juga menegaskan bahawa struktur pentadbiran kerajaan negeri perlu diperkasakan agar setara dengan kedudukan Sabah.
Sehubungan itu, katanya jawatan Pembantu Menteri wajar dinaik taraf kepada Timbalan Menteri, bagi mencerminkan tahap tanggungjawab, autoriti serta martabat pentadbiran yang lebih tinggi dan berwibawa.
PERPADUAN menegaskan bahawa status asal Sabah dalam Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan sepenuhnya, katanya.
Sejak tahun 1976, rakyat Sabah didakwa telah melalui proses pengurangan status serta peminggiran fakta sejarah yang penting.
Sehubungan itu, PERPADUAN menyeru semua pemimpin Sabah agar bersatu mempertahankan hak negeri dan menghormati asas pembentukan Malaysia.
Kejayaan tuntutan hasil 40% membuktikan bahawa MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi hak yang wajib dilaksanakan, katanya.
Beliau berkata Sabah seharusnya mempunyai kuasa autonomi yang lebih luas, termasuk dalam aspek pentadbiran dan hak berkaitan kewarganegaraan, selaras dengan perjanjian asal sebelum pembentukan Malaysia.
“Sudah tiba masanya Sabah diberikan semula kedudukan yang sewajarnya — bukan sekadar simbolik, tetapi melalui kuasa sebenar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” tegas beliau.
