TAMPARUL: Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau berkata cadangan yang menyatakan adalah lebih baik memperjuangkan penyelesaian masalah prasarana kesihatan dan pendidikan daripada menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah adalah tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua bidang tersebut sememangnya merupakan kewajipan dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan kesihatan dan pendidikan dalam Senarai Persekutuan.
Ini termasuk isu sekolah daif, klinik dan hospital uzur, serta pembangunan institusi pendidikan awam di Sabah.
Menurutnya, hasil 40 peratus yang dituntut oleh Sabah sebaik-baiknya dimanfaatkan untuk memperkukuh bidang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri seperti pemberian biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, bekalan air, pelabuhan, pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tenaga elektrik, jalan raya di bawah JKR Negeri dan pihak berkuasa tempatan, jalan pertanian, pentadbiran tanah termasuk pengukuran dan pengeluaran geran tanah, pembangunan luar bandar seperti urus tadbir JKKK, urus tadbir Mahkamah Anak Negeri serta pengurusan alam sekitar dan sumber asli negeri.
Madius berkata, kekurangan dana sejak sekian lama telah menyebabkan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar empat peratus bagi melaksanakan pelbagai projek menaik taraf kemudahan asas negeri.
Antaranya termasuk pembinaan loji rawatan air, naik taraf Pelabuhan Sepanggar, naik taraf kabel Sabah Electricity serta pembangunan jalan raya dan sistem perparitan di taman-taman perindustrian seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Sabah dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).
“Dalam sektor elektrik sahaja, Sabah menanggung pinjaman hampir RM3 bilion dengan Kerajaan Persekutuan.
“Begitu juga usaha menaik taraf Pelabuhan Sepanggar yang melibatkan pinjaman melebihi RM2 bilion, pembinaan loji rawatan air yang menelan belanja berbilion ringgit serta urusan penyukatan tanah yang kini memerlukan pembiayaan tambahan melalui sistem PANTAS kerana kerajaan negeri tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan di Sabah juga berpunca daripada kekangan kewangan termasuk keperluan menambah kakitangan sehingga kerajaan negeri terpaksa memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan melalui program PANTAS.
Menurutnya, cadangan supaya hasil 40 peratus digunakan untuk menampung tanggungjawab Persekutuan hanya akan mengelirukan rakyat mengenai tujuan sebenar tuntutan tersebut.
“Hak 40 peratus ini penting supaya Sabah mempunyai keupayaan kewangan yang lebih kukuh untuk membangunkan bidang di bawah kuasa negeri yang sekian lama tertangguh akibat kekurangan dana,” katanya yang juga ADUN Tamparuli.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar tidak melupakan beberapa keputusan lampau yang memberi kesan besar terhadap negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa sebarang pampasan, yang kini terbukti merugikan Sabah termasuk rakyat Labuan.
Selain itu, katanya, sekitar 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau turut diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) semasa pentadbiran terdahulu, sekali gus memberi kesan besar terhadap pemilikan aset strategik negeri.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak memahami kedudukan sebenar isu tersebut supaya masa depan negeri dapat dipertahankan berdasarkan fakta yang tepat dan bukannya kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya tidak terkeliru dengan cadangan berkenaan, sebaliknya bersama-sama Kerajaan Sabah menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus dengan segera seperti yang telah diperintahkan oleh mahkamah.
