KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merujuk kepada beberapa laman sesawang yang mempromosikan persidangan, iaitu International Global Multidisciplinary Engineering Conference (IGMEC) dan International Conference on Biomedical Engineering & Instrumentation (ICBEI), yang secara palsu mendakwa penglibatan UMS sebagai penganjur dan lokasi program.
Laman sesawang tersebut turut memaparkan nama pensyarah UMS, termasuk Dr Rodeano Roslee (Prof. Ts. Dr. Rodeano Bin Roslee) sebagai pengucaptama tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak universiti mahupun individu berkenaan.
Sehubungan itu, UMS dengan tegas menafikan sebarang penglibatan dalam penganjuran persidangan tersebut. UMS tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama universiti, fakulti, atau staf akademik bagi tujuan mempromosikan program berkenaan.
UMS memandang serius perkara ini kerana ia berpotensi mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi universiti. Justeru, laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
UMS ingin menasihatkan orang ramai, khususnya warga akademik, agar sentiasa melaksanakan semakan sewajarnya (due diligence) dalam memastikan kesahihan mana-mana program, seminar atau persidangan yang mendakwa mempunyai kaitan dengan UMS sebagai penganjur atau lokasi.
Pihak universiti juga menggesa orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti seumpamanya atau penggunaan nama UMS yang mencurigakan kepada pihak universiti bagi tujuan pengesahan dan tindakan segera.
Segala maklumat rasmi berkaitan program universiti hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi UMS. Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amatlah dihargai.
