KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas dan komprehensif bagi menangani wabak kematian ikan pelian yang disahkan berpunca daripada jangkitan Koi Herpesvirus (KHV), susulan kejadian yang dilaporkan sejak 1 Ogos 2025.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kematian ikan secara besar-besaran itu melibatkan beberapa sungai utama di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang.
Beliau berkata, hasil analisis makmal oleh Makmal Biosekuriti, Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan Likas mengesahkan KHV sebagai punca utama kejadian tersebut.
Menurutnya, KHV merupakan virus patogen berbahaya yang menyerang ikan daripada keluarga Cyprinidae dan diklasifikasikan sebagai penyakit akuakultur berimpak besar dengan kadar kematian yang sangat tinggi.
“Data saintifik menunjukkan kadar kematian boleh mencecah antara 80 hingga 100 peratus dalam populasi dijangkiti, selain virus ini aktif dalam suhu air sekitar 18 hingga 28 darjah Celsius dan menjadi lebih agresif apabila berlaku perubahan suhu secara mendadak.
“Ia juga mampu berada dalam keadaan laten sebelum aktif semula apabila berlaku tekanan persekitaran seperti musim kemarau, serta merebak melalui air, sentuhan langsung, peralatan tercemar dan pemindahan ikan hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjawab isu yang tular di platform berhubung kejadian kematian ikan pelian, sekali gus memberi penjelasan rasmi mengenai punca sebenar dan langkah kawalan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut Jamawi, siasatan lapangan mendapati punca utama penularan adalah pelepasan ikan asing, khususnya ikan koi dan spesies lain daripada keluarga Cyprinidae yang bukan endemik Sabah ke dalam perairan umum tanpa kawalan.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu melanggar prinsip biosekuriti dan telah menyebabkan jangkitan serius kepada spesies tempatan termasuk ikan pelian.
Beliau berkata, keadaan musim kemarau yang sedang berlaku turut meningkatkan suhu air sekali gus mewujudkan persekitaran sesuai untuk pengaktifan virus dan meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan beberapa langkah tegas termasuk mengarahkan Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan pekeliling khas kepada semua daerah bagi pelaksanaan tindakan kawalan segera.
“Semua Pengerusi Tagal diarahkan mengenal pasti, menangkap dan mengeluarkan semua ikan koi serta spesies Cyprinidae bukan endemik Sabah dari kawasan tagal dan sungai.
“Ikan tersebut hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelupusan biosekuriti yang ditetapkan dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, kementerian turut mengarahkan larangan sementara terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan daripada keluarga Cyprinidae ke dan dari Sabah.
Katanya, larangan itu meliputi ikan hidup, benih, induk serta sebarang bentuk pemindahan biologi yang berisiko menyebarkan virus KHV dan berkuat kuasa serta-merta sehingga penilaian risiko biosekuriti selesai dilaksanakan.
Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah akan diperkukuhkan tanpa kompromi.
“Mana-mana pihak yang melepaskan ikan asing ke perairan umum, gagal mematuhi arahan pemusnahan atau melanggar larangan import dan eksport akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.
Jamawi turut memberi amaran keras kepada pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam supaya tidak membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum serta mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti.
Beliau berkata, semua pihak juga perlu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha membendung penularan wabak berkenaan.
“Kejadian ini merupakan ancaman serius terhadap biodiversiti perairan darat Sabah dan berpotensi menyebabkan kehilangan kekal spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu.
“Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti – tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya.
