KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kerana terus melaksanakan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan adalah tidak tepat.
Beliau berkata, ia kerana Kerajaan tidak pernah berpendirian bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah ini, namun akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, dasar Kerajaan sejak dari awal adalah melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi. Maksudnya dasar subsidi akan diteruskan dengan mekanisme pengagihan secara bersasar.
“Mengambil kira dasar ini merupakan satu pembaharuan yang besar, maka mekanisme pelaksanaannya bukan hanya perlu dirangka dengan penuh ketelitian, malah harus digerakkan secara berperingkat.
“Atas sebab itu, pada tahun 2024, Kerajaan memulakan dengan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia. Tahun 2025 pula penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara. Syukur Alhamdulillah, kedua-dua agenda tersebut telah dapat berjalan dengan lancar dan akan sentiasa diperkemas.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, pada tahun ini, sememangnya Kerajaan Persekutuan khususnya melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti kerangka cadangan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan.
Katanya, sebaik cadangan mekanisme diperkemas, ia kemudiannya akan dibawa perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan.
“Asasnya adalah subsidi diesel akan terus dilaksanakan, namun secara bersasar sekali gus menangani risiko ketirisan meliputi penyelewengan dan penyeludupan.
“Kita telah ada model-model penyaluran subsidi bahan api melalui BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Kaedah-kaedah ini akan menjadi panduan untuk memuktamadkan mekanisme terbaik bagi penyasaran subdisi diesel di ketiga-tiga wilayah ini yang pastinya akan ada segmen-segmen yang perlu diambil kira yang unik bagi keadaan di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan. Sudah pastinya juga pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan akan diambil kira.
“Pada masa yang sama, perlu untuk diperbetulkan persepsi bahawa subsidi diesel tidak diberikan langsung kepada Semenanjung Malaysia. Subsidi diesel terus disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI kepada sektor pengangkitan darat dan barangan serta segmen masyarakat tertentu.” katanya.
Armizan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi Sabah, Sarawak dan W.P Labuan hanya dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada fasa seterusnya setelah terlaksana fasa 2024 dan 2025 adalah kerana beberapa faktor.
“Antaranya kebergantungan tinggi penduduk kepada bahan api diesel, keadaan geografi dan senario jurang harga barangan keperluan asas yang besar di antara ketiga-tiga wilayah ini dengan Semenanjung Malaysia.
“Kos pengangkutan barang melalui laut dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi berbanding sebahagian besar kawasan perdagangan utama di negara serantau seperti China dan India. Ini menyebabkan jurang harga barangan yang tinggi kerana kos logistik dan kebergantungan kepada import,” katanya.
