Pengguna tidak perlu panik bekalan beras Sabah mencukupi – Jamawi

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bahawa bekalan beras di Sabah adalah mencukupi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik susulan laporan kekurangan stok di beberapa daerah pedalaman.

Beliau berkata, setakat ini, stok simpanan beras negeri (stok pail) mampu menampung keperluan rakyat sehingga enam bulan. 

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamawi menekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas dan menasihatkan rakyat agar tidak panik. 

Beliau berkata, arahan telah diberikan agar penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik digerakkan segera dengan kuantiti yang besar ke Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang. 

“Semoga bekalan beras akan pulih seperti sediakala. Saya menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik,” tambah beliau.

Seawal pagi kelmarin, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr. Ramle Kasin bersama pegawai-pegawai BERNAS Sabah, melakukan pemantauan stok beras di Pusat Simpanan Kolombong dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan beras adalah stabil dan mencukupi.

Hasil tinjauan pagi ini pula mendapati bekalan beras telah mula diedarkan di setiap kedai di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau. 

Di Tenom sahaja, sebanyak 53 tan beras telah memasuki pasaran kedai-kedai yang diuruskan oleh pengedar BERNAS, iaitu PPK Tenom 30 tan dan Sazarice 23 tan.

Secara keseluruhannya, melihat kepada pergerakan stok beras ke daerah Tenom ketika ini, diyakini stok beras adalah mencukupi dengan kerjasama daripada semua pemborong yang telah menghantar stok beras ke beberapa premis kedai di sekitar Tenom pada hari ini. 

Hasil tinjauan juga mendapati keadaan ‘panic buying’ telah reda dan berada dalam keadaan tenang. 

Keperluan sebulan adalah 470MT, secara purata keperluan sehari adalah dianggarkan sejumlah 16MT. Sejumlah 15 peratus (70MT) keperluan bekalan beras telah dan sedang dihantar pada hari ini, melebihi keperluan harian iaitu 16 tan sehari.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles