KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026 telah mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).
Beliau berkata, Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak selaku urus setia.
“Pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan daripada peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol akibat daripada konflik Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global.
“Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh rendah berbanding harga pasaran sungguhpun pelarasan kenaikan harga telah dibuat untuk tempoh 12 hingga 18 Mac 2026,” katanya pada sidang media sempena program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan, di Dewan Masyarakat Sembulan dekat sini hari ini.
Armizan berkata, pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia di paras antara US$90 hingga melebihi US$100 setong minggu sebelumnya berbanding antara US$60 hingga US$70 setong sebelum konflik bermula.
Selain itu, katanya risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar bagi Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan.
“Bagi kedua-dua negeri ini, ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, berbanding harga pam diesel di Semenanjung Malaysia iaitu RM3.92 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.
“Ini bermaksud rakyat di Sabahdan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar,” katanya,
Armizan berkata, implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan menjadi semakin jauh membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
“Implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya telah amat besar. Sebagai contoh, bagi tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung Kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak,” katanya.
Katanya, berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026.
Sehubungan itu, katanya mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, salah satu langkah intervensi serta-merta susulan konflik Asia Barat yang diputuskan oleh Jemaah Menteri adalah keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.
Armizan berkata, selain kawasan-kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah Negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Katanya, di bawah Akta 122, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5.000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
“Manakala, di bawah Akta 613 jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,” katanya.
