Polis siasat kes pukul penguat kuasa MPS

SANDAKAN: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika menjalankan rondaan di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan, pada petang Jumaat. 

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama rakan sekerjanya menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan di kawasan pasar berkenaan.

Menurut beliau, mangsa telah menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan tersebut sebelum berlaku pertengkaran dan mangsa diserang beberapa individu tidak dikenali. 

“Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan. 

“Polis telah memulakan siasatan dan telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. Setakat ini, satu tangkapan telah dibuat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles