TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan yang didakwanya tidak mengambil serius pelaksanaan syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah apabila hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih sedekad.
Madius menzahirkan kekecewaan tersebut dalam satu kenyataan di sini pada Khamis, susulan jawapan bertulis terhadap Soalan Bukan Lisan (Bertulis) yang dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Persidangan Dewan Rakyat.
Dalam soalannya, beliau meminta penjelasan mengenai sumbangan RCI sejak laporan tersebut diserahkan kepada kerajaan pada 2014 dalam menangani kesan negatif Projek IC di Sabah.
“Menurut jawapan KDN, RCI mengenai PATI di Sabah ditubuhkan pada 2012 dan laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014, seterusnya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) pada 3 Disember 2014.
“Sejak penubuhan jawatankuasa itu, kementerian itu memberitahu hanya sebanyak 13 mesyuarat telah diadakan,” katanya.
Bagaimanapun, Madius menyifatkan angka tersebut sebagai bukti jelas ketidakseriusan kerajaan.
“Dalam tempoh lebih 10 tahun, mesyuarat hanya diadakan sebanyak 13 kali. Tidak sampai pun purata sekali setahun.
“Ini menunjukkan kerajaan tidak benar-benar serius menangani isu yang sangat kritikal kepada rakyat Sabah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.
Beliau turut mempersoalkan fokus perbincangan mesyuarat tersebut yang menurut jawapan
kementerian lebih menjurus kepada hal-hal semasa seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu bagi Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin di Negeri Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan.
“Yang dibincangkan pula lebih kepada hal-hal semasa dan pengurusan pentadbiran, bukan pelaksanaan menyeluruh syor-syor RCI. Kalau begitu, apa gunanya RCI ditubuhkan dan laporan tebal disediakan jika syor-syornya tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh?” tegasnya.
Dalam jawapan bertulis itu, KDN turut memaklumkan Mesyuarat JKPWAS Ke-13 pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan lanjutan tempoh Program Pendataan Digital Warga Asing melalui SWIMS sehingga 31 Disember 2028 serta pemberian moratorium kepada pekerja asing yang telah mendaftar dalam sistem tersebut.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 122,228 pekerja asing telah didatakan, dengan 67.3 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai pekerja asing tidak sah.
Namun Madius menegaskan bahawa isu PATI di Sabah bukan sekadar soal pengurusan data atau moratorium sementara, sebaliknya berkait rapat dengan soal kedaulatan, keselamatan dan hak perlembagaan rakyat Sabah.
“RCI diwujudkan untuk merungkai isu besar yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama.
“Jika selepas lebih 10 tahun hanya 13 mesyuarat diadakan dan tiada pelaksanaan menyeluruh terhadap syor-syor utama, ini jelas mencerminkan ketidakseriusan kerajaan dalam menyelesaikan isu PATI secara tuntas,” katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa kerajaan Persekutuan agar menunjukkan komitmen politik yang lebih jelas dan menetapkan garis masa khusus bagi melaksanakan syor-syor utama RCI demi memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap usaha penyelesaian isu berkenaan.
