Enam ADUN Warisan Sandakan desak SPRM siasat,  tidak berkompromi rasuah babitkan projek rumah SMJ

SANDAKAN: Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN Sandakan memandang serius penahanan seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan pemberian projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Enam ADUN itu ialah  Calvin Chong (ADUN N55 Elopura), Lisa Alban (N52 Sungai Sibuga),  Alias Hj. Sani (N53 Sekong), Arunanarsin Taib (N50 GumGum),  Alex Wong (N54 Karamunting) dan Alex Thien (N56 Tanjong Papat).

Projek yang sepatutnya membantu golongan memerlukan telah disalahgunakan demi kepentingan peribadi dan episod itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan serta tidak boleh diterima sama sekali.

Sebagai wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah, kami menegaskan bahawa sebarang bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat. 

Program perumahan seperti Rumah Mesra SMJ diwujudkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki tempat tinggal yang selamat dan bermaruah, bukannya menjadi ruang untuk kepentingan peribadi, kronisme atau manipulasi kuasa.

Oleh itu, mereka menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan secara tegas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi. 

“Siasatan tidak boleh terhad kepada individu yang ditahan sahaja, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian proses daripada kelulusan projek, pemilihan kontraktor, aliran kewangan, hinggalah kepada kemungkinan wujudnya pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. 

“Jika terdapat unsur rangkaian atau sistem yang membolehkan penyalahgunaan ini berlaku, maka ia mesti dibongkar sepenuhnya,” kata mereka.

Dalam masa yang sama, enam ADUN itu menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh sekadar menunggu hasil siasatan semata-mata. Kerajaan negeri mesti mengambil tanggungjawab proaktif untuk memantau perkembangan kes ini secara rapi serta memastikan langkah pembetulan dilaksanakan segera. 

Ini termasuk memperketatkan sistem pemantauan pemberian projek, memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, meningkatkan ketelusan proses kelulusan, serta memastikan audit berkala dilaksanakan terhadap semua program bantuan perumahan rakyat.

Mereka juga menuntut supaya hasil siasatan dan sebarang tindakan susulan dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat. Ketelusan adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan awam terhadap sistem pentadbiran. Rakyat berhak mengetahui bagaimana dana awam diuruskan dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Kes yang berlaku ini harus menjadi peringatan serius kepada semua pihak bahawa integriti dalam perkhidmatan awam bukan pilihan, tetapi kewajipan. Kami menegaskan bahawa tiada sesiapa pun harus dilindungi jika terbukti bersalah, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti dan akan mendesak tindakan tegas diambil sehingga ke peringkat pendakwaan jika terdapat bukti kukuh,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Menurut mereka, perjuangan membanteras rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten, berprinsip dan tanpa kompromi demi memastikan keadilan ditegakkan, integriti dipelihara dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles