KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama beberapa jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan, akan menganjurkan program Ramadan Jazz di Kompleks Sukan Likas, di sini pada 14 Mac depan.
Ia adalah sebagai kesinambungan program seumpamanya yang diadakan di Sandakan pada 2024 yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Antara yang terlibat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Tabung Haji.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan mengangkat pendekatan dakwah kontemporari melalui gabungan muzik, tazkirah dan aktiviti kebajikan.
Katanya, Ramadan Jazz membawa pembaharuan dengan pendekatan santai melalui seni muzik dan pengisiannya meliputi aspek kerohanian.
“Program ini ada kekuatan tersendiri dalam proses membangunkan masyarakat MADANI, iaitu memupuk hubungan akrab, kasih sayang, ihsan, semangat bekerjasama di kalangan belia.
“Kita menggunakan pendekatan di lapangan terbuka, menggabungkan seni muzik dan dakwah yang diterjemahkan dalam satu program,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Sapawi berkata sempena program itu, pelbagai acara diadakan seperti pengagihan bubur lambuk, ceramah agama, semarak subuh menyantuni kumpulan asnaf, serta program ziarah ke hospital,” katanya.
Menurutnya, program yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 9.30 malam itu dijangka dihadiri lebih 1,500 orang.
Ia digerakkan oleh Belia USIA di bawah pimpinan Ketua Belia USIA merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Sapawi turut menjelaskan bahawa program itu juga menjadi platform berkesan mendekati golongan belia serta masyarakat umum dalam suasana Ramadan yang lebih inklusif.
Katanya, ia mengambil kira sambutan program Ramadan Jazz sebelum ini di Sandakan yang membuktikan kaedah dakwah di ruang terbuka mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk bukan Islam dan pelancong.
Program Ziarah Ramadan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 15 Mac dijangka dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Sapawi berkata sebahagian artis yang menjayakan program Ramadan Jazz ini didatangkan dari Semenanjung, manakala sebahagian lagi adalah artis tempatan.
Manakala pada acara kemuncaknya diadakan cabutan pengunjung bertuah, dengan menawarkan pelbagai hadiah, termasuk tiket mengerjakan umrah.
Pada 24 Mac 2024, program Ramadan Jazz The Elopura diadakan di Sandakan dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan.
Program itu antaranya diisi dengan solat subuh berjemaah, tazkirah dan persembahan muzik jazz, merupakan Inovasi baharu dalam usaha memupuk nilai murni masyarakat.
Program itu turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu dakwah daripada Fiq Mentor, Dagnie dan Afad (Raihan).
Pengusaha The Elopura Hotel Sandakan, Datuk Md Afendi Hamdan, menjadi penggerak utama program berkenaan bersama USIA
