SEMANGAT HPN: Lichong (dua kanan) menyerahkan salinan keratan akhbar Utusan Borneo kepada Asro sempena HPN 2026 semalam.
KOTA SERANG (Banten, Jakarta): Setiap wartawan harus mengutamakan kredibiliti dan integriti dalam menghadapi cabaran transformasi dunia kewartawanan, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui.
Beliau berkata ia penting demi menjaga ekosistem kewartawanan sebagai sumber maklumat sahih yang boleh dipercayai, sekali gus meletakkanya kekal relevan.
“Dengan meletakkan kredibiliti dan integriti sebagai keutamaan, ia dapat memperkukuh kualiti kewartawanan dan meningkatkan kepercayaan umum.
“Ini kerana apabila masyarakat memperoleh maklumat daripada media yang berwibawa dan dipercayai, ia membantu menyuburkan lagi dunia kewartawanan,” katanya selepas pertemuan bersama Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, di sini hari ini.
Delegasi ISWAMI Malaysia diketuai Pemangku Presiden Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, diundang ke Banten sempena Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2026.
Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia berkata wartawan akhbar kini berdepan cabaran dengan perkembangan media sosial yang merentasi seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu, katanya, adalah perlu bagi wartawan media arus perdana untuk mengekalkan momentum kewartawanan sebenar melalui pemberitaan yang jujur, berimbang dan bertanggung jawab.
Katanya, transformasi digital kini membawa cabaran besar kepada media arus perdana, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan soal etika dalam pemberitaan.
“Jangan kita terikut-ikut dengan trend mengejar kepantasan menyebarkan maklumat, kerana kita perlu mendapatkan kesahihan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa wartawan bukan sekadar berfungsi sebagai penyampai informasi, tetapi lebih penting harus menjadi penegak (pilar) demokrasi yang menjaga keseimbangan antara pemerintah dan masyarakat.
Sebab itu, katanya, adalah penting bagi wartawan menulis berdasarkam fakta, selain harus bersikap jujur, berimbang dan bertanggung jawab.
Lichong juga memuji pemilihan tema HPN 2026 iaitu `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat’, yang disifatkannya sebagai bertepatan dalam era digitalisasi kini.
Katanya, melalui amalan media yang sihat, ia pasti memperkukuh pembangunan ekonomi dan sekali gus memperkuatkan jati diri bangsa dan negara.
