KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamad menyambut baik pelantikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED).
Sebagai rakyat dalam kawasan Parlimen Putatan yang mana Tanjung Aru terletak di bawahnya, beliau amat bersetuju dengan pelantikan itu yang menurutnya tepat pada masanya.
“Kita mengalu-alukan pelantikan Ketua Menteri Sabah sebagai Pengerusi TAED.
“Sudah sampai waktu projek ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan segera, kerana ianya sudah cukup lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffery yakin dan percaya situasi menang-menang akan dilaksanakan kepada para penduduk Tanjung Aru.
“Ketua Menteri tahu bagaimana untuk menjayakan projek ini kerana kuasa eksekutif yang ada padanya dan juga kuasa sosial akan menjadikan isu-isu setempat menjadi menang-menang,” katanya.
Jeffery berharap isu pembangunan projek TAED tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat serta rakyat Sabah secara amnya.
Terdahulu, Hajiji dipetik sebagai berkata bahawa agenda pembangunan di kawasan Tanjung Aru akan diteruskan secara terancang dan mampan, dengan keutamaan diberikan kepada keseimbangan antara pembangunan bandar, kesejahteraan rakyat serta pemeliharaan alam sekitar, khususnya bagi penduduk Kota Kinabalu
