BN Sabah namakan Mohd Ismail calon PRK DUN Lamag, Mohd Naim bagi Parlimen Kinabatangan

Oleh: John T.

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah telah mengesahkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Lamag, manakala Mohd Naim Kurniawan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.

Semasa mengumumkan calon BN di bangunan Umno Sabah di sini hari ini, Pengerusi BN Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pemilihan itu berpandukan keperluan untuk menstabilkan iklim politik pasca pilihan raya di samping memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat.

Mohd Ismail, juga dikenali sebagai Miha yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 sebagai calon bebas, memperoleh 3,755 undi dan kalah tipis di kerusi Lamag dengan 153 undi kepada Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Bung Moktar, yang mengekalkan kerusi itu dengan 3,908 undi, meninggal dunia pada 5 Disember 2025, seminggu selepas pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Jan untuk kedua-dua pilihan raya kecil parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, dengan hari penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal dijadualkan pada 20 Jan.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Mohd Hasnol Ayub, Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said; Setiausaha Umno Sabah Samasuddin Yusop dan Ketua MCA Sabah Datuk Teah Heok Kuin.

Jafry berkata, BN Sabah cakna dan peka terhadap dinamika politik semasa yang melibatkan DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.

Katanya, perkembangan ini perlu diurus dengan kematangan politik, kebijaksanaan strategik serta pendekatan berhemah yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. 

Katanya, dalam landskap politik yang semakin mencabar dan dipengaruhi oleh perubahan sentimen dan pengaruh melalui segmen yang pelbagai, khususnya dalam kalangan pengundi muda, BN Sabah berpandangan bahawa keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif dan menyatukan adalah penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan BN yang stabil dan relevan. 

Dalam konteks ini, katanya BN Sabah melihat Mohd Naim Kurniawan Moktar, Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan melalui legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan. 

Pada masa yang sama, katanya mengambil kira hakikat bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah baru sahaja berakhir, BN Sabah memilih untuk mengambil pendekatan calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK DUN Lamag. 

“Pendekatan ini selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri. 

“Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah mencalonkan Mohd Ismail Haji Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional,” katanya. 

Jafry berkata, pencalonan ini merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik. 

Katanya, BN Sabah berpandangan bahawa pengukuhan kedudukan parti di Kinabatangan bukan sekadar soal persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus. 

Sehubungan itu, katanya BN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas panduan dalam memperkukuh usaha kerjasama politik dan  kestabilan negara. 

Penghargaan yang sama turut dizahirkan kepada YAB Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah, atas komitmen berterusan dalam memastikan keharmonian politik serta kelangsungan pentadbiran negeri. 

Jaftry berkata, BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan yang dizahirkan oleh semua pihak dan berpendirian bahawa perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negeri. 

“BN Sabah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi atas komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta kemajuan Sabah terus terpelihara,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles