Oleh Yussof J. Imbang
KUNDASANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mengesa ketua-ketua jabatan di daerah Tongod supaya merujuk garis panduan terancang yang terkandung dalam buku ” Suara Kuamut – Pelan Pembangunan daerah Tongod 2020-2030 “.
Jelasnya, edisi buku berkenaan adalah cadangan pembangunan tersedia yang telah dikenalpasti dan disusun oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) serta mempunyai potensi untuk dimajukan di kawasan Kuamut.
Kerangka yang terkandung dalam buku berkenaan adalah hasil idea Adun Kuamut itu yang diterjemahkan sebagai misi dan visi untuk membangunkan daerah Tongod sehingga tahun 2030.
Masiung bercakap kepada media selepas merasmikan majlis Anugerah Cemerlang warga kerja Pejabat Daerah Tongod di sebuah puasat peranginan di Kundasang, semalam.
Majlis turut memperkenalkan Pegawai Daerah baharu Tongod, Hazlan Jablee yang akan menggantikan, Yuesri Ismail Yusof yang ditukarkan ke daerah Membakut.
” Menerusi misi buku Suara Kuamut, kita letakan IDS sebagai fasalitor, sementara Pegawai Daerah bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan akan memainkan peranan sebagai pelaksana dasar.
” Pendekatan saya menerusi wawasan dalam buku ini supaya Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pengamal adat turut dilibatkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ” tegasnya.
Katanya, setiap anggota kerajaan perlu menjalinkan hubungan kerjasama dua hala dengan pemimpin di peringkat daerah supaya semua aspek pembangunan dapat dilaksanakan secara holistik.
” Pegawai serta kakitangan kerajaan wajar berkhidmat dengan tulus. Jangan anggap jawatan yang dipegang sekadar untuk menyerah keluarga tanpa ada kesungguhan membangunkan masyarakat.
” Jangan pandang ringgan rakyat yang datang berurusan dengan anda hanya kerana anda seorang pegawai kerajaan, ” tegasnya.
Menurut Masiung, buku Suara Kuamut, menggariskan lima teras utama dan 10 strategi pembangunan yang bakal membentuk hala tuju masa depan daerah Tongod menjelang tahun 2030.
Kerangka yang dibukukan merentasi pelbagai sektor ekonomi, infrastruktur, pendidikan modal insan, industri, sukan, kebudayaan, keagamaan, keselamatan, kelestarian alam sekitar dan kesejahtraan penduduk pelbagai lapisan.
Kedua-dua Pegawai Daerah, Yuesri dan Hazlan turut hadir pada majlis tersebut bersama warga Pejabat daerah Tongod.
