TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menyeru Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) supaya terus meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil getah bagi memastikan komuniti berkenaan dapat bersama-sama menikmati arus kemakmuran negeri dan negara.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penambahbaikan berterusan oleh LIGS amat penting agar bantuan dan sokongan kerajaan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh pekebun kecil, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Daerah Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk memastikan segala perancangan yang telah digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bukan sahaja untuk penduduk DUN Melalap, malah seluruh rakyat Sabah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan MAFFI akan melaksanakan tiga inisiatif utama bermula tahun hadapan bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan rakyat yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan.
Inisiatif pertama ialah memperkasakan Program Kebun Dapur yang dijangka mampu meningkatkan hasil pertanian isi rumah serta menggalakkan penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam sektor berkenaan.
Menurutnya, program berkonsepkan pengeluaran tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil itu akan dilaksanakan mengikut kesesuaian kawasan serta keupayaan isi rumah, sekali gus membolehkan rakyat memperoleh sumber makanan asas termasuk protein secara lebih kendiri.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menyokong usaha memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan makanan,” katanya.
Inisiatif kedua pula melibatkan pelaksanaan Program Mentor–Mentee Pertanian sebagai platform membimbing generasi muda untuk berkecimpung secara serius dalam bidang pertanian.
Jamawi berkata, program itu akan mengenal pasti anak-anak muda yang aktif dalam sektor pertanian untuk dibimbing secara berstruktur, selaras dengan usaha pemerkasaan rakyat dan pengukuhan keterjaminan makanan negeri.
Inisiatif ketiga adalah penggalakan Ekonomi Digital dalam kalangan usahawan industri makanan bagi meluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan pengusaha.
Beliau berkata, seiring perkembangan ekonomi digital, penggunaan platform dalam talian diyakini mampu membantu pengusaha makanan memasarkan produk dengan lebih meluas, di samping membuka peluang kepada golongan muda berpotensi dalam bidang pemprosesan makanan menjana pendapatan mampan.
“Ketiga-tiga inisiatif ini akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan dan saya yakin ia mampu memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan sektor pertanian dan industri makanan negeri,” katanya.
Jamawi dalam ucapannya memaklumkan bahawa merujuk kepada permintaan daripada penoreh-penoreh getah, satu kertas kerja akan dibuat oleh LIGS bersama pihak Kementerian bagi cadangan menaikkan subsidi Bantuan Kerajaan Negeri (BKN) dalam Mesyuarat Kabinet yang akan datang.
Sejumlah 9,000 penoreh getah yang berdaftar di bawah LIGS dan dalam majlis yang sama, seramai 150 telah menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT)
yang disampaikan oleh Jamawi.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak terlibat dalam menjayakan program penyerahan BMT kepada pekebun kecil getah di daerah berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; wakil kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Daphne Gauzim; Penolong Pegawai Daerah Tenom, Zakaria Jamal dan wakil kepada Ketua Polis Daerah Tenom, ASP Ahmad Razali.
Terdahulu, Jamawi melawat SK Melalap serta menyantuni guru-guru serta ibu bapa di situ dalam Majlis Perasmian Apresiasi dan Graduasi sekolah.
