KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed menggesa kerajaan negeri Sabah agar tidak terburu-buru mengangkat Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat dalam urusan sumber manusia dan bidang berkaitan di negeri ini.
Menurutnya, ini kerana kerajaan perlu meneliti isu itu secara menyeluruh dari sudut perlembagaan, dasar pendidikan serta perpaduan nasional.
“Sebarang pertimbangan terhadap pengiktirafan UEC perlu berpaksikan perundangan sedia ada, khususnya Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
“Ini kerana perkara tersebut tidak boleh dipisahkan daripada objektif pembinaan jati diri kebangsaan,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan pandangan ADUN Likas, Tham Yun Fook, yang juga bekas pegawai kanan Jabatan Pendidikan, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berakhir semalam.
Jeffrey berkata, latar belakang Tham dalam sektor pendidikan seharusnya menjadikan isu ini dibincangkan secara lebih berhati-hati dan berasaskan kerangka undang-undang negara.
Jeffrey turut mengaitkan perbahasan mengenai UEC dengan insiden baru-baru ini yang menyaksikan seorang ADUN gagal bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan baik dalam sidang rasmi.
“Ini secara langsung mencerminkan kelemahan jangka panjang dalam pendekatan pendidikan yang tidak menitikberatkan bahasa kebangsaan.
“Dasar pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan pelajar berilmu, tetapi juga alat penyatuan masyarakat berbilang kaum dan pembentukan semangat nasional,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa keutamaan sebenar kerajaan negeri seharusnya tertumpu kepada isu asas pendidikan di Sabah, termasuk keadaan banyak sekolah kebangsaan yang masih daif dan kekurangan kemudahan asas.
“Jika asas pembelajaran seperti prasarana dan persekitaran sekolah masih bermasalah, perbahasan mengenai pengiktirafan sijil akan terus terpisah daripada realiti di lapangan,” jelas Jeffrey.
Walaupun tidak menolak kewujudan sekolah persendirian, Jeffrey memberi amaran agar sistem pendidikan tidak menjadi faktor yang memperluaskan jurang pemisahan sosial dan budaya dalam masyarakat majmuk di negeri itu.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar isu pengiktirafan UEC diputuskan melalui keputusan mahkamah berasaskan Perlembagaan Persekutuan, sambil menegaskan bahawa keputusan kehakiman merupakan autoriti tertinggi yang wajar dijadikan rujukan muktamad.
Jeffrey turut menegaskan keperluan satu keputusan tuntas dibuat segera bagi mengelakkan isu UEC terus menjadi polemik politik berpanjangan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan fokus terhadap isu pendidikan sebenar.
