TAMPARULI: Kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung (KK) mesti dibuat melalui proses undian dan bukan lagi melalui lantikan politik, kata calon DUN Tamparuli Datuk Seri Wilfed Madius Tangau.
Beliau yang akan bertanding atas tiket UPKO dalam pilihan raya umum Sabah ke-17 pada Sabtu ini memberitahu akan melaksanakan pemilihan ketua-ketua itu melalui undian demokrasi dan bukan lagi dilantik oleh ahli politik.
“Pemilihan JKKK dan KK wajib secara undian demokrasi, tiada lagi lantikan politik. Saya tawarkan pembaharuan di Tamparuli dengan melaksanakan reformasi sistem kepimpinan JKKK dan KK.
“Ini mesti dilaksanakan sedemikian supaya ia menjadi institusi kerajaan di peringkat akar umbi yang berkesan dan efektif,” katanya menambah bahawa inisiatif ini adalah antara perkara penting dalam manifestonya.
Sebelum ini ramai pihak mengadu lantikan politik sistem JKKK dan KK sebagai tidak efisien dan sebaliknya mahu sistem pentadbiran peringkat akar umbi dilakukan dengan memberi peluang penduduk kampung untuk memilih sendiri anggota ketua mereka.
Menurut Madius, fokus utama sistem JKKK ialah merancang pembangunan kampung dan memastikan setiap program yang dirancang menjadi projek pembangunan yang dimasukkan dalam bajet kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri, Daerah, Mukim dan Kampung.
Ini sekaligus memastikan peruntukan tersedia bagi setiap projek yang dirancang mengikut jadual yang di tetapkan.
Katanya, antara reformasi terpenting dalam sistem ini ialah membina sebuah pusat pentadbiran pembangunan di setiap kampung yang berdaftar.
“Dalam bangunan ini akan disediakan pejabat Pengerusi dan Setiausaha JKKK, bilik Gerakan JKKK, pejabat Ketua Kampung dan bilik bicara Mahkamah Anak Negeri peringkat kampung,” kata Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran ini.
Dalam reformasi ini Madius mencadangkan seorang pengerusi dan 12 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK dipilih melalui satu pemilihan yang tersusun rapi dan dikendalikan oleh Pejabat Daerah.
