Oleh Yussof J. Imbang
SANDAKAN: Program pembangunan yang telah dan sedang dirancang di Sabah akan menemui kegagalan jika rakyat terus mengambil risiko kerap menukar kerajaan.
Naib Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan rakyat bahawa peralihan kerajaan lebih banyak mengundang keburukan kepada rakyat dan negeri berbanding kebaikan.
” Bila kerajaan bertukar, maka polisi akan berubah, dasar baharu diwujudkan, projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan akan terbantut.
” Akibatnya rakyat akan menanggung kerugian apabila pembangunan yang sedang berjalan gagal diteruskan, ” tegasnya ditemui media selepas berkempen membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sekong dan Sungai Sibuga di sini, petang tadi.
Masiung menambah, jika wujud kerajaan baharu ia akan mengambil masa dua hingga tiga tahun menyusun pentadbiran, membentuk jawatankuasa dan dasar sedangkan kerajaan GRS sudah mempunyi perancangan sedia ada untuk diteruskan.
” Kesinambungan kerajaan GRS penting untuk mengelak pembangunan negeri ini terbantut dan memastikan kestabilan politik yang kini dinikmati perlu dikekalkan.
” Sejarah lalu telah membuktikan, apabila politik tidak stabil, kerajaan kerap bertukar tangan program pembangunan dan inisitif yang telah dirancang tidak dapat diteruskan akhirnya rakyat menerima risiko.
Masiung yakin calon GRS Sekong, Puan Sri Diana Hamdan Diego dan calon GRS Sungai Sibuga, Datuk Amir Shah Yakob mempunyai kekuatan tersendiri untuk merampas kerusi kedua-dua DUN berkenaan daripada pembangkang.
