SANDAKAN; Calon Barisan Nasional (BN) N.51 Sungai Manila, Zaini Tiksun, menziarahi dua penduduk di PPR Taman Muhibbah yang sedang berdepan masalah kesihatan, petang tadi.
Lawatan itu bertujuan menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Zaini meluangkan masa menemui saudara Mohd Najib Saidi dan Puan Asmah Hassan bagi meninjau sendiri keadaan kesihatan mereka.
Kehadiran beliau diterima dengan penuh syukur oleh keluarga yang terlibat.
Menurut Zaini, keprihatinan terhadap rakyat bukan hanya dilaksanakan ketika waktu kempen, tetapi merupakan tanggungjawab moral sebagai anak jati Sungai Manila yang memahami keadaan masyarakat di lapangan.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga yang diuji sentiasa menjadi fokus utama.
“Semoga kedua-dua mereka diberi kesembuhan dan kekuatan oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Zaini dalam masa sama menyeru masyarakat agar saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain, terutama ketika berdepan situasi sukar.
Katanya, perpaduan dan sikap prihatin komuniti merupakan kunci keharmonian di Sungai Manila dan seluruh kawasan Libaran.
