Oleh Penganalisis Politik Gundohing Musli Oli
KOTA KINABALU: Hari ini adalah Hari Penamaan Calon pilihan raya negeri Sabah ke-17.
Daripada analisis terhadap 73 kawasan DUN saya dapati terdapat kecenderungan rakyat untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
Sejak tahun 2018, dua kerajaan yang muncul selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) iaitu Warisan (2018–2020) dan Gabungan Rakyat Sabah, GRS (2020–2025) gagal memberikan apa yang rakyat pernah kecapi di bawah BN: kemajuan yang terancang, kestabilan politik dan kemakmuran.
Era pemerintahan Warisan penuh dengan kekecohan dan kecelaruan.
Mandat yang diperoleh tidak disertai pengukuhan struktur kuasa, sebaliknya disambar ribut pengkhianatan, langkah demi langkah. Ketika itulah gejala “lompat parti” dinormalisasikan sehingga menjadi budaya politik yang memualkan.
Bukan sekadar menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi,.malah ia meruntuhkan moral politik negeri. Sabah menjadi pentas percubaan untuk segala bentuk ketidaksetiaan, sedang isu rakyat terus terabai.
GRS yang menggantikan Warisan pula lebih teruk lagi.
Ya, wajahnya kelihatan stabil, tetapi bawah permukaan sentiasa bergolak umpama bangunan cantik yang tapaknya retak.
Kerajaan boleh kekal berdiri, tetapi tidak pernah benar-benar kukuh. Keutamaan lebih banyak tertumpu kepada percaturan kuasa daripada membina landasan pembangunan.
Jika dibandingkan dengan era BN, jurangnya jelas. BN berjaya menyediakan asas pembangunan yang teratur, rangka pentadbiran yang stabil, serta hala tuju ekonomi yang tidak bertukar setiap dua atau tiga tahun.
Kerajaan tidak bergolak saban bulan, tidak tumbang kerana ego pemimpin, dan rakyat tidak hidup dalam keadaan meneka siapa yang akan lompat esok pagi.
Dalam politik, kestabilan adalah keperluan asas dan BN pernah menyediakan kestabilan politik selama lebih 24 tahun.
Menghampiri PRN17 nanti, satu ramalan semakin kuat kedengaran: tiada mana-mana parti, termasuk gabungan besar, akan mampu membentuk kerajaan sendirian.
Pecahan sokongan, realiti demografi, dan rekod pilihan raya mutakhir menunjukkan landskap politik Sabah kekal terpecah pelbagai arah.
Warisan dijangka bangkit dan menang kerusi dalam jumlah yang signifikan, tetapi belum cukup untuk menguasai DUN. Persaing utama adalah BN. Kelebihan BN ialah sokongan daripada lain-lain parti untuk mengetuai kerajaan selepas keputusan diumum pada 29hb November kelak.
