KOTA KINABALU: Pertubuhan Orang Asal Sabah (POAS) menggesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar tidak meneruskan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah dalam isu tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Presiden POAS, Alix Sunggin, berkata keputusan mahkamah itu selaras dengan semangat dan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan, yang sewajarnya dihormati dan dilaksanakan tanpa berlengah.
“Kami menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan AGC tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi. Keputusan tersebut adalah kemenangan moral dan undang-undang bagi rakyat Sabah. Ia bukan semata-mata isu politik, tetapi soal keadilan dan hak yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alix turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang berprinsip untuk menarik diri daripada Kabinet sekiranya kerajaan meneruskan rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan.
“Tindakan Datuk Ewon adalah satu pendirian yang berprinsip dan berani demi mempertahankan hak negeri Sabah.
“Beliau mewakili suara rakyat yang mahu melihat pemimpin bertindak berdasarkan prinsip, bukan kepentingan politik,” ujar Alix.
Katanya lagi, pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah bukanlah satu permintaan baharu, sebaliknya kewajipan perlembagaan yang perlu dilaksanakan seiring dengan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
“Saya juga menyambut baik komitmen yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk melaksanakan segala tuntutan MA63 termasuk hak 40 peratus ini.
“Namun, sekiranya keputusan mahkamah itu dirayu, ia memberi isyarat bahawa kerajaan tidak menghormati keputusan kehakiman dan perlembagaan serta menjadikan segala komitmen sebelum ini hanya sekadar kata-kata,” katanya.
Alix menegaskan bahawa rakyat Sabah kini menilai kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan janji-janji MA63, dan sebarang tindakan yang bercanggah dengan semangat perjanjian itu hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap komitmen pusat terhadap negeri ini.
