Jasa Tan Sri Liew Yun Fah sentiasa dikenang dan dihargai warga Merotai biarpun pemimpin silih berganti

TAWAU: Nama Tan Sri Liew Yun Fah bukanlah nama yang asing dalam dunia politik Sabah khususnya di DUN Merotai. 

Tan Sri sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah pernah menjadi antara watak utama yang membentuk landskap politik daerah Tawau dan Kalabakan pada era 2000-an. 

Gaya kepimpinan Tan Sri yang tegas dan hubungan rapat dengan akar umbi menjadikan Tan Sri antara tokoh tempatan paling berpengaruh ketika itu.

“Kami masih ingat, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2004, Tan Sri memenangi kerusi DUN Merotai atas tiket Barisan Nasional (BN) melalui Parti Demokratik Liberal (LDP). 

“Kemenangan ini membuka jalan untuk Tan Sri dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah sekaligus mengukuhkan kedudukan Tan Sri dalam kabinet negeri. Tan Sri kami anggap sebagai simbol kejayaan anak tempatan Merotai dalam arena politik negeri,” kata anak jati Merotai Alias Burhan.

Namun, pada PRN 2008, katanya perjalanan politik Tan Sri berubah apabila tidak lagi dicalonkan oleh LDP. 

“Kami merasakan ia satu kerugian buat kami di Merotai kerana Tan Sri telah membawa banyak perubahan di Merotai. 

“Tapi kami kagum, walaupun tidak bertanding, Tan Sri kekal aktif melalui kerja kebajikan dan aktiviti masyarakat. 

“Karisma Tan Sri terus kami ingati terutama dalam kalangan generasi lama di Merotai yang pernah merasai sentuhan kepimpinan Tan Sri,” kata Alias.

Selepas lebih sedekad, Tan Sri kembali ke gelanggang pada PRN Sabah 2020 sebagai calon Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) iaitu parti yang Tan Sri asaskan sendiri.

Namun, arus politik baharu tidak berpihak kepada Tan Sri apabila Tan Sri tewas kepada calon WARISAN, Sarifuddin Hata yang menang dengan majoriti agak besar.

Kekalahan itu menjadi tanda jelas perubahan selera politik pengundi yang kini lebih cenderung kepada calon muda dan progresif.

Sudut pandangan Alias turut dikongsi Idham Sulaiman, anak kepada peniaga kecil-kecilan (mewakili generasi muda Merotai).

Kini, menjelang PRN-17, nama Tan Sri kembali disebut-sebut di Merotai. 

“Sebagai Presiden PHRS yang bersama gabungan GRS, Tan Sri dilihat masih memiliki pengaruh di peringkat akar umbi. 

“Namun, ramai pemerhati berpendapat sudah tiba masanya Tan Sri memberikan laluan kepada calon baharu yang lebih muda, berwawasan dan mampu meneruskan perjuangan dengan pendekatan segar,” kata Idham.

Menurutnya, Tan Sri sudah lama berkhidmat dan banyak berjasa tapi politik sekarang menuntut tenaga baharu. 

“Generasi muda perlu diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan. Jika Tan Sri benar-benar mahu memastikan kesinambungan pembangunan di Merotai, langkah paling bijak ialah menyokong calon baharu yang dipersetujui gabungan,” kata Idham.

Dalam konteks semasa, Idham berkata penting juga bagi Tan Sri untuk menjaga air muka Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang sebelum ini memberi gambaran bahawa seorang bekas Ketua Setiausaha Kementerian Persekutuan (KSU) yang juga anak jati Merotai wajar diberi peluang berbakti di kawasan Merotai. 

“Isyarat politik seperti ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia membawa mesej keharmonian dan kesepakatan antara GRS dan PH di Sabah selain demi ‘survival’ politik Tan Sri. 

“Kami memohon agar Tan Sri menjaga keharmonian gabungan kerana ia lebih penting daripada mengejar kedudukan. 

“Jika Tan Sri terus menunjukkan kesetiaan dan menghormati keputusan pucuk pimpinan GRS, Tan Sri akan dikenang bukan sebagai calon yang kecewa tetapi sebagai negarawan yang berjiwa besar,” katanya.

Dalam politik moden, kebijaksanaan seorang pemimpin bukan hanya diukur melalui kemenangan di peti undi tetapi juga keupayaan membaca masa depan. 

“Memberi laluan kepada calon yang lebih muda bukan bererti mengundur diri tetapi menandakan kematangan dalam berpolitik demi memastikan perjuangan tidak terhenti dengan satu generasi sahaja.

“Kami akui Tan Sri telah mencatat sejarah tersendiri di Merotai. Tiada siapa-siapa yang boleh menyangkalnya. Namun kini, tiba masa untuk Tan Sri menulis bab baharu bukan sebagai calon tetapi sebagai mentor dan penjaga legasi politik tempatan. 

“Dengan memberi laluan kepada wajah baharu dan menghormati keputusan pucuk pimpinan GRS, Tan Sri bukan sahaja meneguhkan kestabilan politik Sabah tetapi juga memastikan perjuangan rakyat Merotai terus hidup dalam nafas yang segar dan berwibawa,” katanya.

NOTA – Pandangan yang diberikan oleh warga Merotai itu adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi atau pihak lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles