GRS-PH mampu kekal kuasa-Permuafakatan baharu beri kelebihan besar

TAWAU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa kedua-dua blok kerajaan itu bersedia mempertahankan tampuk pentadbiran negeri Sabah. 

Menurut pemerhati politik, Mohd. Zaki Harry Susanto, kerjasama politik tersebut diyakini mampu mengubah landskap pilihan raya kali ini apabila GRS membawa kekuatan luar bandar manakala PH pula kukuh di kawasan bandar. 

“Gabungan strategik ini dijangka dapat mengelak pertembungan sesama parti kerajaan di Sabah sekali gus memusatkan undi kepada calon yang mewakili gabungan rasmi ini.

“Ini kerana, GRS masih memiliki pengaruh besar di pedalaman seperti Nabawan, Keningau dan Pitas selain beberapa kawasan di pantai timur Sabah hasil jentera akar umbi yang kukuh serta sokongan ketua masyarakat setempat. PH pula dijangka mempertahankan kubu kuatnya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau yang cenderung kepada isu reformasi dan tadbir urus baik.”

Menurut Zaki lagi, kedua-dua blok dijangka mendapat manfaat besar daripada penyelarasan kerusi dan jentera iaitu apabila PH memfokuskan kempen kepada isu nasional manakala GRS menekankan isu berkaitan pembangunan setempat. Malah, strategi ini dilihat mampu memperkukuh keyakinan pengundi yang mahukan kesinambungan pentadbiran sedia ada selain kelanjutan momentum pembangunan di Sabah dan manfaat menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, cabaran utama GRS+PH ialah persepsi penyokong tegar yang mungkin tidak selesa dengan gabungan ideologi berbeza. Selain itu, kewujudan blok lain seperti WARISAN, PN dan BN berpotensi memecah undi di kawasan campuran, menjadikan pertandingan lebih sengit.

“Saya menjangkakan gabungan GRS+PH berpotensi meraih 40 kerusi daripada 73 kerusi DUN jika kerjasama ini kekal utuh dan pembahagian kerusi dilakukan secara strategik. Sekiranya keputusan berpihak kepada mereka di beberapa kerusi marginal, GRS+PH juga berpotensi mengatasi jumlah majoriti mudah untuk terus mentadbir Sabah.

“Secara keseluruhan, PRN-17 dijangka menjadi medan penentu keutuhan muafakat GRS+PH di Sabah. Jika strategi berjalan lancar, gabungan itu bukan sahaja mampu mengekalkan kuasa tetapi turut memperkukuh kestabilan politik Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang,” tambah Zaki lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles