Sektor Pertanian Benteng Baharu Ekonomi Sabah – Bung Moktar

KINABATANGAN: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Sabah tidak boleh terus bergantung kepada hasil minyak, kayu balak dan mineral semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh sektor pertanian sebagai tunjang utama ekonomi masa depan negeri itu.

Berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Dataran Kinabatangan baru-baru ini, beliau berkata sumber asli bersifat sementara dan tidak mampu menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang.

“Minyak akan habis, kayu balak pun habis, mineral pun sama. Masa depan Sabah mesti digerakkan melalui pertanian moden yang produktif dan lestari,” katanya.

Menurut Bung Moktar, Sabah mempunyai tanah yang subur serta tenaga kerja luar bandar yang berpotensi menjadi pemacu ekonomi sekiranya sektor pertanian komersial berteknologi tinggi diberi tumpuan.

Beliau yang juga anggota Parlimem Kinabatangan berkata pertanian bukan sahaja menjamin keselamatan makanan, malah mampu membuka peluang pekerjaan dan menstabilkan ekonomi luar bandar.

“Kalau kita mahu Sabah terus maju pada masa akan datang, asasnya mesti kukuh pada tanah, tani dan teknologi. FELCRA telah membuktikan bahawa pertanian mampu mengangkat martabat rakyat desa,” ujarnya.

Bung Moktar turut memuji inisiatif FELCRA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyalurkan RM207 juta sebagai Keuntungan Interim kepada peserta serta melaksanakan projek pembangunan bernilai RM75.63 juta di Kinabatangan.

Justeru beliau menyeru semua pihak agar berganding bahu menjadikan pertanian sebagai “benteng baharu ekonomi Sabah”, dengan pengurusan yang bijak serta kesungguhan rakyat membina masa depan berasaskan hasil tanah sendiri. 

Sumber- UMNO Online

Related Articles

253FansLike

Latest Articles