Pembeli Century Plaza Papar Tuntut Geran Individu Selepas 20 Tahun

PAPAR: Ahli Parlimen Papar,  Datuk Armizan Mohd Ali, menyuarakan rasa kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab pemaju PMSB Ventures Nemberhad yang gagal menghadiri perjumpaan pada 27 Oktober lalu bagi membincangkan isu hak milikan individu pembeli lot kedai Century Plaza Papar.

Menurut Datuk Armizan, seramai 24 pembeli telah membeli lot kedai sejak tahun 2004, namun masih belum menerima geran milikan individu, walaupun projek tersebut telah mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (OC) sejak 2006.

“Sebahagian besar pembeli telah melunaskan pinjaman mereka, malah ada yang meninggal dunia tanpa sempat mendapat hak milik. Pemaju tidak boleh terus berdiam diri dan meninggalkan pembeli dalam ketidakpastian,” tegasnya.

Beliau memaklumkan kumpulan pembeli kini telah melantik Tetuan Zainal & Associates untuk mewakili mereka dalam tindakan undang-undang terhadap pemaju.

Datuk Armizan turut menyeru Majlis Daerah Papar, selaku pemilik tanah bersama pemaju, agar segera memainkan peranan menyelesaikan isu yang telah berlarutan hampir 20 tahun itu.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri melalui agenda reformasi undang-undang dan institusi (Law and Institutional Reform) akan memperkenalkan dua undang-undang baharu — pindaan Enakmen Hak Milik Subsidiari 1972 dan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025 — bagi memperkukuh perlindungan pembeli hartanah di Sabah.

 “Apa yang berlaku di Century Plaza tidak boleh berulang lagi. Kita mahu undang-undang yang lebih adil dan responsif terhadap hak pengguna,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles