Dongeng Nizam Tidak Akan Padamkan Skandal Perlombongan — Rakyat Sabah Berhak Mengetahui Kebenaran

Oleh Ree Rahim Ahmad, Penyelaras, Change Advocate Movement Sabah (CAMOS) – Keningau

KOTA KINABALU — Penyelaras Change Advocate Movement Sabah (CAMOS) Keningau, Ree Rahim Ahmad hari ini mengecam Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Nizam Abu Bakar Titingan atas apa yang beliau sifatkan sebagai “cubaan melucukan untuk menukar skandal menjadi kisah kejayaan” dalam usaha mempertahankan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kontroversi lesen perlombongan negeri.

“Naratif Nizam lebih menyerupai sandiwara politik daripada kebenaran. Mari kita jelas — lesen-lesen perlombongan itu diluluskan di bawah pentadbiran Hajiji sendiri. Tidak mungkin seseorang boleh mengaku sebagai penyelamat sumber Sabah sedangkan skandal itu bermula semasa dia berkuasa,” kata Ree Rahim.

Beliau menambah, tindakan membatalkan 20 lesen penerokaan hanya selepas isu itu didedahkan tidak menjadikan Ketua Menteri seorang wira.

 “Itu bukan kepimpinan — itu usaha menutup malu. Rakyat Sabah berhak mendapat ketelusan, bukan cerita rekaan untuk melindungi kepentingan politik,” tegasnya.

Ree Rahim turut berkata bahawa jika Hajiji benar-benar mahu mempertahankan kekayaan Sabah, kerajaan perlu mendedahkan siapa yang mendapat manfaat daripada kelulusan awal lesen-lesen tersebut, bagaimana ia dikeluarkan, dan sama ada wujud konflik kepentingan dalam kalangan orang dalam kerajaan.

“Rakyat Sabah sudah muak dengan ahli politik yang kononnya mempertahankan sumber negeri tetapi diam seribu bahasa apabila individu rapat dengan kuasa turut terlibat. Melindungi Sabah bermaksud kebertanggungjawaban sejak hari pertama — bukan selepas kantoi,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa agar pihak kerajaan negeri dan persekutuan menjalankan siasatan penuh dan bebas terhadap skandal lesen perlombongan ini serta mendedahkan semua dokumen berkaitan untuk penelitian awam.

“Hanya ketelusan sepenuhnya yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat. Selain daripada itu hanyalah putaran politik yang menggadaikan maruah Sabah,” ujar Ree Rahim menutup kenyataannya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles