Anak Negeri Tanding 55 Kerusi, Sasar Jadi Penentu Kuasa di PRN Sabah

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mengesahkan akan bertanding 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, menjadikannya antara parti tempatan yang paling aktif dalam gelanggang politik negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya Anak Negeri, Jismit Japong, berkata keputusan berani itu dibuat selepas menilai kekuatan jentera parti, sokongan akar umbi dan kesiapsiagaan calon di seluruh negeri.

“Kami percaya inilah masa terbaik untuk rakyat Sabah memilih sebuah parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak negeri ini tanpa bergantung kepada parti luar.

“Anak Negeri sudah bersedia untuk menjadi suara rakyat di semua kawasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Jismit, parti itu kini menumpukan kepada beberapa teras utama manifesto termasuk pemulihan hak 40 peratus hasil Sabah, pemberian minyak RM1 seliter kepada rakyat, pembinaan hospital di setiap kawasan Parlimen, serta pendidikan dan perumahan percuma kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar janji politik, sebaliknya pelan realistik yang boleh dilaksanakan jika kerajaan negeri dibentuk dengan semangat perjuangan sebenar rakyat Sabah.

“Kita mahu mengembalikan maruah dan kuasa rakyat Sabah. Anak Negeri bukan parti kecil — kami adalah gerakan rakyat yang membawa mesej perubahan dan kebangkitan sebenar,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jismit menambah, parti tersebut turut menerima penyertaan ramai anak muda dan profesional yang mahu melihat politik Sabah bebas daripada pengaruh pusat serta kembali kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami tidak mahu Sabah terus menjadi pemerhati kepada keputusan yang dibuat di Putrajaya. Masa untuk rakyat negeri ini menentukan nasib sendiri sudah tiba,” katanya.

Anak Negeri dijangka mengumumkan senarai penuh calon tidak lama lagi, termasuk beberapa tokoh berprofil tinggi yang bakal mewarnai saingan sengit dalam PRN kali ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles